Gerakan Sokong Undi Luar Negara

Diterbitkan: Selasa, 15 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK KUALA LUMPUR: Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Khoon berkata parti itu menyokong cadangan agar rakyat Malaysia yang berada di luar negara dibenarkan mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, sokongan berkenaan dibuat berdasarkan prinsip bahawa semua rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pengundi yang sah layak menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin negara.

"Semua rakyat Malaysia seharusnya diberikan hak menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi. Itu prinsip utama yang kita sokong.

"Hak pengundi berdaftar seharusnya tidak dinafikan," katanya di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Sokongan berkenaan bagaimanapun bertentangan dengan pendirian rakan komponen parti itu dalam Barisan Nasional (BN) apabila MCA menyatakan bantahan terhadap cadangan tersebut atas alasan rakyat Malaysia yang berada di luar negara tidak mengetahui keadaan politik di Malaysia.

Bagaimanapun Koh berkata, mekanisme terhadap pelaksanaan bagi membenarkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara turut sama mengundi pada pilihan raya perlu diperhalusi oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen bagi penambahbaikan sistem pilihan raya.

"Kalau mahu dilaksanakan sistem undi pos, saya fikir kaedah berkenaan perlu dikaji kerana pihak pembangkang sendiri begitu mendesak agar undi pos dihapuskan.

"Jadi adalah tidak selari sekiranya pengundi dalam negara tidak dibenarkan menggunakan undi pos sedangkan bagi rakyat Malaysia yang ada di luar negara kita benarkan," katanya.

Menurut Koh, parti itu bagaimanapun lebih bersetuju sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan kaedah pengundian awal bagi memastikan ketelusan sistem pilihan raya di negara ini.

"Sebenarnya saya membantah penggunaan undi pos. Saya lebih menyokong sekiranya dilaksanakan kaedah pengundian awal kerana begitu banyak keraguan terhadap undi pos," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan