Projek Perintis Guru Tidak Realistik, Batalkan Sahaja - Pemuda PAS

Diterbitkan: Isnin, 14 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS pada Isnin menggesa Kementerian Pelajaran membatalkan keputusannya mahu mengadakan projek perintis guru bertugas sembilan jam sehari atas alasan ia tidak wajar dan tidak realistik untuk dilaksanakan.

Ketua Penerangannya Riduan Mohd Nor berkata, pihaknya bersetuju dengan gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) agar kerajaan membatalkan sahaja projek perintis guru yang akan dilaksanakan mulai Januari depan kerana menyifatkannya sebagai satu tindakan yang membazir.

“Dewan Pemuda PAS menegaskan, para guru tidak boleh boleh dijadikan bahan uji kaji terhadap keberkesanan sesuatu teori.

“Sebaliknya, Dewan Pemuda PAS melihat para guru adalah mereka yang sentiasa bereksperimen dengan kehidupan realiti dan bergelumang dengan dunia pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Isnin.

Sabtu lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong menasihatkan para guru agar tidak “panik” dengan projek rintis sistem bekerja sembilan jam

Projek yang akan dilaksanakan mulai Januari 2012 di empat negeri termasuk Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor

Beliau dilaporkan berkata, melalui projek itu, guru-guru akan bekerja mengikut dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang, namun kementerian akan melihat realiti sebenar dalam pelaksanaannya.

Menurutnya, setiap input dan cadangan pelbagai pihak akan diambil kira sebelum cadangan itu dibawa kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan membuat keputusan selanjutnya.

Ka Siong berkata, kementerian sentiasa sedar bahawa tugas guru melebihi masa bekerja di sekolah bahkan terpaksa menghadiri majlis dan program pada musim cuti sekolah selain menjadi rujukan para pelajar tanpa mengira waktu.

Kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari 2012.

Mengulas lanjut, Ridhuan berkata guru tidak wajar dibebankan dengan kajian projek perintis tersebut kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih utama iaitu menghabiskan silibus pembelajaran terlebih dahulu sebelum melaksanakan tugas lain.

“Banyak perkara yang memerlukan inisiatif sendiri para guru, termasuk mengeluarkan duit kocek mereka bagi memastikan sistem pengajaran mereka di sekolah berkesan serta bagi memastikan para pelajar mendapat pengajaran yang terbaik.

“Selain itu, para guru juga terpaksa mengikut jadual waktu para murid seperti hadir ke program kokurikulum, sukan tahunan, pelbagai aktiviti riadah dan di luar darjah, lawatan sambil belajar di samping kursus-kursus wajib yang mereka sendiri terpaksa hadiri,” katanya lagi.

Katanya, bagaimana kerajaan boleh melahirkan murid yang cemerlang jika guru yang mengajar pelajar sering letih, lesu dan hilang semangat kerana perlu memenuhi masa bekerja seperti tenaga profesional yang lain.

Tambah Riduan, tindakan Kementerian Pelajaran menunjukkan kerajaan sememangnya tidak peka terhadap permasalahan yang dihadapi oleh para pendidik.

“Dewan Pemuda PAS syorkan agar kerajaan menilai kembali keputusan kajian ini dengan mengusahakan insentif kepada para guru sepertimana janji Pakatan Rakyat untuk memberi elaun tambahan sebanyak RM500 sebulan.

“Tindakan ini lebih realistik bagi memastikan guru mampu mengajar dengan penuh cemerlang serta mampu melahirkan generasi pelajar yang terus cemerlang dalam akademik,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan