LHDNM Naik Taraf Pusat Data 15 - 20 November

Diterbitkan: Isnin, 14 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan menjalankan proses menaik taraf pusat datanya bermula 15 Nov pada pukul 5.30 petang sehingga 20 Nov.

Ini berikutan perpindahan ibu pejabatnya daripada Blok 9 di Kompleks Bangunan Kerajaan di Jalan Duta di sini, ke Wisma Hasil di Cyberjaya, Selangor.

Pembayar cukai dan pelanggan LHDNM dimaklumkan bahawa akan terdapat gangguan penggunaan perkhidmatan elektronik seperti e-Filing, e-Lejar, Aduan (Sistem Aduan Pelanggan), laman sesawang LHDNM dan lain-lain yang berkaitan dengan Sistem Aplikasi Berkomputer semasa tempoh tersebut.

LHDNM dalam satu kenyataan berkata perkhidmatan kaunter pembayaran di semua cawangan LHDNM turut akan terganggu dan hanya perkhidmatan terhad akan disediakan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr. Mohd Shukor Mahfar berkata:

"Kaunter-kaunter perkhidmatan LHDNM hanya akan memberikan perkhidmatan yang terhad dalam tempoh ini dan resit bayaran akan dikeluarkan secara manual kepada semua pembayar cukai yang membuat transaksi bayaran cukai pendapataan mereka dalam tempoh naik taraf pusat data ini.

"Bagaimanapun, gangguan ini hanya sementara dan dijangka pulih mengikut jadual yang telah ditetapkan," katanya.

Dr. Mohd Shukor berkata perpindahan ibu pejabatnya ke Cyberjaya hanya melibatkan Blok 9 sahaja, manakala yang selebihnya, terletak di Blok 8A dan 11 akan kekal di Jalan Duta. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan