Akaun Awam Sarawak Terima Perakuan Baik Ketua Audit Negara

Diterbitkan: Isnin, 14 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Sarawak sekali lagi mendapat perakuan yang baik bagi Akaun Awam Negeri Sarawak 2010, tahun kesembilan negeri itu menerima perakuan seumpamanya, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Isnin.

Taib, yang juga Menteri Kewangan negeri berkata kedudukan kewangan negeri itu turut menerima penarafan kredit yang baik daripada agensi penarafan antarabangsa dan tempatan, termasuk Moody's, Rating Agency Malaysia Bhd (RAM) dan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC).

"Rekod prestasi baik ini membuktikan kerajaan negeri telah menjalankan pengurusan kewangannya secara telus, bertanggungjawab dan berhemat selaras dengan peraturan yang ditetapkan dan oleh itu, kita harus terus berdisiplin dalam cara kita menguruskan kewangan jika kita mahu terus menjadi negeri yang mempunyai kewangan yang kukuh," katanya semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2012), semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini.

Katanya ia adalah lebih kritikal sekarang bagi Sarawak untuk mengekalkan kemampanan penarafan kredit terutama dalam usahanya menarik pelaburan langsung dan tidak langsung ke dalam negeri dalam jumlah yang lebih besar pada masa depan.

Sarawak adalah satu-satunya negeri di negara ini yang berjaya mendapat penarafan yang baik daripada agensi penarafan yang menanda aras pengurusan kewangan negeri itu setanding dengan negara-negara lain di seluruh dunia, katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan