Polis Bantu Proses Agih Bantuan Sekolah RM100

Diterbitkan: Ahad, 13 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Kementerian Pelajaran bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses pengeluaran dan pengagihan wang bantuan persekolahan RM100 kepada kira-kira 5.5 juta pelajar untuk menjamin keselamatan guru besar dan pengetua sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata guru besar dan pengetua yang diiringi guru-guru penolong kanan berkemungkinan menjadi sasaran penjenayah dan atas faktor keselamatan adalah lebih elok jika mereka diiringi polis untuk mengeluarkan wang daripada bank sehingga mengagihkan wang bantuan persekolahan di sekolah.

"Kita tidak mahu apa-apa (kejadian tidak diingini) berlaku dan sebab itu kita melakukan langkah-langkah pencegahan," katanya pada satu sidang media selepas menghadiri Hari Keluarga Warga KPM 2011 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di MAEPS di sini.

Khamis lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata wang bantuan persekolahan RM100 seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Belanjawan 2012 akan disalurkan kepada akaun sekolah masing-masing dengan serta-merta.

Wang bantuan itu yang akan diagihkan kepada pelajar Tahun Satu hingga Tahun Lima dan dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2011.

Bayaran bantuan kepada pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu sesi persekolahan 2012 akan dibayar pada Januari tahun depan.

Wang bantuan persekolahan RM100 kepada ibu bapa, penjaga atau pelajar mula diagihkan pada minggu lepas.

Merakamkan penghargaan kepada PDRM atas kerjasama yang diberikan, Wee menasihatkan pihak sekolah mematuhi semua aspek keselamatan termasuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri untuk membuat pengaturan bagi pengeluaran dan pengagihan wang itu.

"Yang penting, kita perlu melihat jadual dan pihak sekolah perlu berbincang dengan polis kerana kemungkinan banyak sekolah di sesebuah kawasan (perlukan bantuan). Maka, terserah kepada pihak sekolah berbincang dengan polis untuk mengatur waktu," katanya.

Mengenai cadangan sesetengah pihak agar wang bantuan persekolahan dimasukkan ke dalam akaun ibu bapa atau penjaga pelajar, Wee menjelaskan bahawa pengagihan terus adalah cara paling senang dan cepat dan kerajaan tidak mahu menyulitkan ibu bapa khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan bank.

Menerusi pemberian terus, beliau berkata ibu bapa atau penjaga juga tidak perlu membuka akaun baru untuk mendapatkan wang bantuan itu.

Wee berkata ibu bapa atau penjaga yang tidak mahu menerima wang bantuan persekolahan RM100 boleh mengisi borang menolak dan menyerah balik bantuan itu. BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan