Penyenaraian FGVB: Kerajaan Jamin Peneroka Tidak Hilang Aset, Insentif

Diterbitkan: Ahad, 13 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Kerajaan memberi jaminan bahawa warga peneroka Felda tidak akan kehilangan aset dan insentif yang diterima ketika ini setelah penyenaraian Felda Global Ventures Sdn Bhd (FGVB) di Bursa Malaysia menjelang pertengahan tahun depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kerajaan memberikan jaminan ini kerana timbul kebimbangan di kalangan sebilangan kecil peneroka Felda berhubung penyenaraian itu yang dikhuatiri akan menjejaskan pemilikan tanah selain penerimaan bonus, duit raya dan dividen Koperasi Permodalan Felda.

"Apa yang peneroka dapat sebelum ini kita memberi jaminan mereka akan terus menikmatinya malah akan memperoleh lebih banyak keuntungan.

"Kita tidak akan sentuh walau segenggam pun tanah peneroka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Semai Bakti Majlis Belia Felda Malaysia di Felda Chini 2 dekat sini, Ahad.

Beliau berkata, kira-kira 500,000 hektar ladang milik peneroka tidak akan dilibatkan dalam proses penyenaraian itu dan kekal menjadi milik mereka.

Katanya, Felda bagaimanapun berkemungkinan akan melibatkan tanah ladang milik mereka yang diuruskan Felda Plantation ketika ini seluas 360,000 hektar melalui kaedah pajakan kepada pemegang pajakan.

"Ini belum keputusan akhir...ia masih di peringkat penelitian dan perbincangan kerana kita masih ada masa sebelum penyenaraian pertengahan tahun depan," katanya.

Ahmad berkata, kerajaan menimbang segala tindakan yang akan dilakukan bagi memastikan kepentingan peneroka, Felda dan negara tidak terjejas.

Mengenai maklum balas yang diterima pihaknya berhubung penyenaraian itu, beliau berkata sebahagian besar warga peneroka telah memahami faedah daripada penyenaraian FGVB.

Katanya mereka yang mempunyai sebarang masalah dan pandangan berhubung perkara itu boleh menghantar surat terus kepadanya atau Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk dikaji dan perhalusi. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan