NFC: Menteri Pertanian Jawab Pembangkang

Diterbitkan: Sabtu, 12 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TANJONG KARANG: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar membidas sikap pembangkang kerana mengelirukan rakyat mengenai isu kontroversi projek ternakan lembu feedlot di bawah kendalian syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

"Mereka pembangkang sendiri keliru tidak faham apa yang mereka cakap, jadi apa yang mereka cakap menyebabkan rakyat menjadi bertambah keliru," katanya.

Beliau menjelaskan, pertama sekali NFC bukanlah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tetapi ia adalah syarikat sendirian berhad yang memasuki tender terbuka bagi membangunkan projek ternakan fidlot.

"Tidak bermakna namanya ada perkataan "Nasional" bermaksud ia ada kaitan dengan kerajaan, katanya kepada para pemberita selepas menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan MIC Parlimen Tanjong Karang.

Oleh itu, kementerian beliau tidak ada kuasa untuk memeriksa perjalanan sesebuah syarikat sendirian berhad jika wujud penyelewengan dan sebagainya, kata beliau.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution Ismail di lobi Dewan Rakyat pada Khamis bahawa kemudahan pinjaman mudah yang disalurkan kepada NFC telah digunakan untuk membeli sebuah kondominium mewah menerusi maklumat yang diperolehi daripada akaun NFC di CIMB Bank di Taman Tun Dr Ismail.

Oleh itu, jika pembangkang ingin mendapatkan penjelasan mengenai kedudukan kewangan NFC, mereka bolehlah bertanya sendiri dengan syarikat sendirian berhad itu bagi mendapat maklumat, katanya.

Bagaimanapun, Noh berkata kerajaan menyalurkan kemudahan pinjaman berjumlah RM250 juta kepada NFC menerusi satu akaun khas yang dibuka di Malayan Banking Bhd.

Beliau berkata, pinjaman itu hanya boleh disalurkan kepada NFC setelah mendapat sokongan seorang pegawai daripada Kementerian Kewangan dan seorang pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, sebuah agensi di bawah kementeriannya.

Setakat ini, RM181 juta telah dikeluarkan oleh NFC dan daripada sejumlah permohonan yang dikemukakan, kebanyakannya berkaitan dengan ladang lembu dan tiada permohonan untuk membeli kondominium yang dikemukakan, katanya.

Noh berkata, kerajaan hanya mengawal daripada segi pengeluaran wang dari akaun khas itu dan memastikan 8,000 ekor lembu daging dihasilkan dalam tempoh tiga tahun oleh NFC.

Kementerian tidak boleh mengawal NFC daripada segi apa yang dilakukan terhadap wang pinjaman berkenaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan