Sekolah Kampug Jawa Kini Dikenali Sebagai Sekolah P. Ramlee

Diterbitkan: Jumaat, 11 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Jika melintasi Jalan Gudwara di pusat bandar ini, kita akan ternampak Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa tetapi ramai di antara kita tidak mempedulikannya kerana beranggapan ia hanya sebuah sekolah lama yang terletak di pusat bandar.

Namun kini pandangan kita mungkin berbeza, sekolah kebangsaan yang diasaskan pada tahun 1887 dengan nama asalnya Kampung Jawa Malay School itu akan menjadi satu daripada daya tarikan apabila ia dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Tan Sri P.Ramlee mulai Ahad ini.

Cadangan untuk mengabadikan nama seniman agung itu pernah dibangkitkan oleh Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah itu bersama Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) sempena sambutan ulang tahun ke-100 sekolah itu 24 tahun lepas.

Setelah mengambil tindakan susulan dan membuat permohonan semula kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, akhirnya cadangan PIBG dan dan Pemenang menjadi kenyataan.

Yang Dipertua Persatuan Melayu Pulau Pinang Datuk Seri Mohd Yussof Latiff berkata nama P.Ramlee diabadikan sebagai memperingati tempat Allahyarham memulakan persekolahannya dengan memasuki "darjah sekerat" iaitu pendidikan pra sekolah ketika itu.

P.Ramlee dikatakan berminat untuk memasuki sekolah ketika berusia enam tahun apabila ayahnya terpaksa membawa beliau ke tempat kerja di kilang peleburan timah yang terletak berhampiran sekolah itu.

"P.Ramlee dikatakan sering mengintai tingkap sekolah dan menunjukkan minatnya untuk belajar walaupun usianya baru enam tahun dan guru di sekolah itu terus membenarkan beliau memasuki kelas dan didaftarkan sebagai murid darjah sekerat," kata Mohd Yussof kepada Bernama.

Beliau berkata di sekolah itulah P.Ramlee menjadi murid pintar sebelum melanjutkan pelajarannya ke sekolah Inggeris di Francis Light School dan kemudiannya ke Penang Free School.

Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Hasan Said berkata penukaran nama sekolah itu merupakan satu lagi tanda peringatan sempena nama seniman agung itu selain Jalan P.Ramlee dan Rumah P.Ramlee di negeri ini.

Beliau berkata sebelum ini orang ramai mungkin tidak sedar bahawa sekolah yang terletak di pusat bandar itu adalah sekolah yang pernah mendidik P.Ramlee dari usia seawal enam tahun.

"Dengan pertukaran nama itu, kini rakyat di seluruh negara akan mengenali sekolah tempat P.Ramlee belajar dan semua pelajar akan berbangga dengan nama sekolah yang baru itu," katanya.

Sementara itu, Guru Besar sekolah berkenaan Arifah Ariffin berkata beliau sangat berbangga dapat menjadi guru besar yang pertama sempena pertukaran nama sekolah itu kerana beliau merupakan peminat P.Ramlee.

"Saya sangat gembira dan berbangga dapat menjadi Guru Besar di sekolah ini dan saya berhasrat mempertingkatkan lagi kecemerlangan pencapaian akademik sekolah ini sama seperti gahnya nama sekolah ini sekarang," katanya.

Majlis pertukaran nama itu akan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan sempena majlis itu, satu persembahan lagu-lagu P.Ramlee akan dimainkan oleh pancaragam Sekolah Penang Free. -BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan