MCA Cabar Pakatan PKR-DAP-PAS Kurangkan Jumlah Penjawat Awam

Diterbitkan: Khamis, 10 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA mencabar pakatan PKR-DAP-PAS mengurangkan jumlah penjawat awam di negeri yang mereka tadbir dan tidak memberi helah akan melaksanakannya jika mereka mengambil alih kerajaan persekutuan.

Parti itu berkata kenyataan ketua publisiti DAP Tony Pua bahawa pakatan itu akan mengurangkan jumlah penjawat awam sekiranya mereka mengambil alih kerajaan persekutuan telah ditolak oleh PAS sendiri apabila akhbar parti itu, Harakah, memetik Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar sebagai berkata pakatan itu tidak pernah membincangkan perkara tersebut.

"DAP juga tidak menunjukkan komitmennya terhadap isu itu. Sekiranya Pakatan Rakyat benar-benar ingin mengurangkan jumlah penjawat awam, mereka sepatutnya melaksanakannya di negeri yang mereka tadbir terlebih dulu, tapi hingga hari ini, mereka tidak berbuat demikian di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan malah, di Kelantan," kata setiausaha MCA Selangor Wong Koon Mun dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata Pua sering menyerang kerajaan persekutuan, tetapi apabila kerajaan Selangor membuat keputusan menaikkan elaun Anggota Dewan Undangan Negeri dan penjawat awamnya serta menyerahkan projek kepada juruperunding luar dan tidak menggunakan sumber dalaman negeri, mereka tidak pula mengkritik langkah itu.

"Oleh itu, saya mencabar DAP supaya melaksanakan dasar mereka itu untuk membuktikan mereka tidak menipu rakyat dan mengurangkan jumlah penjawat awam di Pulau Pinang dulu," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan