Dakwat Kekal: Pembangkang Gesa Jawatankuasa Khas Buat Keputusan

Diterbitkan: Rabu, 9 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi penambahbaikan pilihan raya digesa membuat ketetapan segera agar mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan komitmen untuk menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata, SPR perlu menyatakan komitmen mereka dalam melaksanakan penggunaan dakwat kekal dalam kadar segera bagi memastikan suruhanjaya terbabit bersedia sekiranya Parlimen dibubarkan.

"Esok Pakatan Rakyat akan meminta Jawatankuasa Pilihan Khas membuat satu ketetapan agar meminta SPR laksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya akan datang.

"Kita mahu SPR beri komitmen tegas bahawa ia boleh dilaksanakan. Kalau keputusan tidak dibuat esok, kita bimbang SPR akan beri alasan mereka tidak cukup masa untuk beli dakwat kekal tersebut," katanya di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dianggotai sembilan ahli Parlimen dikalangan wakil rakyat kerajaan, pembangkang dan bebas akan bermesyuarat kali keempat esok sebelum sesi pendengaran awam diadakan bermula pada Jumaat ini.

Menurut Anthony, jawatankuasa berkenaan perlu membuat keputusan segara bagi memberi keyakinan kepada rakyat mengenai kesungguhan penubuhannya iaitu bagi menambah baik sistem pilihan raya sedia ada.

"Esok adalah mesyuarat terakhir sebelum sesi pendengaran awam diadakan. Jadi kita mesti beri keyakinan kepada rakyat bila mereka datang memberi input pada sesi berkenaan," katanya.

Pada mesyuarat esok, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan tampil memberi keterangan berhubung beberapa perkara terutama berkaitan daftar pemilih.

Selain itu JPN turut digesa agar memberikan data berhubung jumlah warganegara asing yang diberi taraf kenegaraan sejak tiga tahun lalu.

"Kita mahu JPN beri data penuh mengenainya sejak 2008 hingga kini. Kita mahu tahu berapa jumlah taraf kerakyatan telahpun diberikan kepada warga asing serta berapa ramai kini sudah menjadi pemilih dan layak mengundi," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan