YSB Sediakan Pasukan Bantuan Banjir Berpengalaman

Diterbitkan: Selasa, 8 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Yayasan Sultanah Bahiyah(YSB) kali ini menyediakan pasukan bantuan bencana banjir berpengalaman sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir di Kedah.

Pengerusi yayasan Datuk Seri Tunku Puteri Intan Shafinaz berkata 30 anggota sukarelawan terdiri individu, pemilik pacuan empat roda dan bot ringan serta anggota Persatuan Radio Amatur Kedah bertanggungjawab mengurus dan memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat.

"Dikenali sebagai 'YSB Support Team' sudah berpengalaman menguruskan mangsa banjir tahun lalu," katanya ketika melancarkan pasukan tersebut di sini pada Selasa.

Beliau menyarankan mereka di daerah lain yang tidak terjejas dengan banjir turut menjadi sukarelawan YSB membantu mereka yang terlibat dengan banjir.

Tunku Puteri Intan Shafinaz berkata yayasan itu menyediakan sebuah bot ringan kegunaan kerja memindahkan mangsa di tempat yang sukar selain peruntukan RM50,000 untuk keperluan makanan seperti susu dan beras serta lampin kanak-kanak dan dewasa mangsa banjir.

"Sebagai permulaan pihak kami menyediakan bekalan makanan kepada 500 orang selama tiga hari dan jika tidak mencukupi akan ditambah dari masa ke masa mengikut keperluan. Perjanjian juga dibuat dengan beberapa pembekal makanan supaya menghantar bekalan tambahan sekiranya dikehendaki," katanya.

Pada majlis tersebut Tunku Puteri Intan Shafinaz menyerahkan sumbangan kepada 36 keluarga mangsa ribut di Yan berjumlah RM10,000 dan RM1,000 untuk dua keluarga mangsa kebakaran di Taman Bersatu, Kuala Kedah. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan