Rakyat Di Luar Negara Disaran Daftar Sebagai Pemilih Di Semua Perwakilan M'sia

Diterbitkan: Selasa, 8 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar menyarankan semua rakyat Malaysia di luar negara yang layak, agar mendaftar sebagai pemilih di pejabat perwakilan Malaysia bagi memastikan hak mereka sebagai pengundi terjamin.

Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohillan Pillay berkata kementeriannya yang bertindak bagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa memastikan Borang Pendaftaran Pemilih mencukupi di semua kedutaan besar, suruhanjaya tinggi, konsulat general dan konsulat Malaysia di luar negeri.

"Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negeri selaku penolong pendaftar pemilih di luar negeri akan secara berterusan membantu SPR dalam urusan pendaftaran pemilih bagi warganegara Malaysia yang layak berlandaskan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan," katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang antaranya ingin tahu persediaan setiap perwakilan Malaysia di luar negara di seluruh dunia dalam memastikan rakyat di perantauan mendapat hak mengundi.

Kohillan berkata perwakilan Malaysia juga sentiasa memastikan butiran peribadi warga Malaysia termasuk yang telah mendaftar sebagai pengundi tidak hadir (PTH) yang menetap di luar negara, dikemas kini dan mengandungi maklumat lengkap.

Katanya, kerajaan sentiasa mengingatkan kepentingan bagi warga Malaysia yang berhasrat menetap atau telah menetap di luar negara untuk berdaftar dengan perwakilan Malaysia berhampiran.

"Semua kedutaan Malaysia sudah dimaklumkan mengenai prosedur-prosedur pendaftaran pemilih serta perjalanan pilihan raya bagi warganegara yang menetap di luar negara," katanya.

Kohillan berkata apabila pilihan raya diadakan, Kementerian Luar akan memastikan sampul dan kertas undi pos bagi pemilih berdaftar sebagai PTH dihantar kepada perwakilan berkaitan sebaik sahaja diterima daripada SPR.

Selepas 24 jam proses penamaan calon berlangsung, kertas mengundi akan mula dicetak dan SPR akan serahkan kepada Wisma Putra melalui 'diplomatic bag' untuk dihantar ke negara berkenaan.

"Selepas mereka memangkah dan memasukkan ke dalam sampul surat itu dan terus dihantar kepada pegawai pengurus pilihan raya sesuatu bahagian," katanya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Kohillan berkata proses kempen di luar negara dibenarkan selepas proses penamaan calon berlangsung.

Kempen itu juga tertakluk kepada peraturan pilihan raya yang ditetapkan oleh SPR, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan