Pendaftaran Pelarian Secara Biometrik Dapat Kenal Pasti Mereka Lebih Dekat - Hishammuddin

Diterbitkan: Selasa, 8 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Persetujuan mendaftarkan pemohon suaka dan pelarian yang memegang dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) secara biometrik di Malaysia mulai Januari 2012 adalah untuk mengenal pasti individu terbabit secara lebih dekat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin berkata pendekatan baru yang merekodkan secara cap ibu jari itu lebih sistematik dan terperinci serta berbeza dengan kaedah yang digunapakai sebelum ini.

Beliau menjelaskan langkah itu tidak berkaitan dengan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin atau 6P yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

"Jumlah pelarian setakat ini ialah 94,800 orang dan kita mahu mendaftar secara biometrik supaya kita dapat kenal pasti di mana mereka berada dan siapa mereka. Mereka tidak boleh lari daripada cap jari. Itu kelebihan program yang kita sedang jalankan ini," katanya.

Hismahuddin berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan tiga buah kenderaan oleh Naza World Bhd untuk diujipandu sebagai usaha inisiatif pemodenan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, pada Selasa.

Pada 6 November, wakil UNHCR Alan Vernon dalam satu kenyataan berkata, kemasukan biodata pelarian dalam pangkalan data kerajaan Malaysia akan memberi perlindungan lebih luas kepada mereka, terutama daripada penangkapan dan penahanan, kerana identiti mereka boleh disahkan dengan mudah oleh pegawai penguatkuasa undang-undang.

Terdapat 95,000 pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia termasuk dari Myanmar,Sri Lanka, Somalia, Afghanistan dan Iraq.

Pada majlis itu, Naza World Bhd menyumbangkan dua unit kenderaan pacuan 4 roda (4WD) Captiva 2.0 SUV dan satu unit kenderaan salun Cruze 1.8 secara percuma sebagai tanggungjawab sosial dan membantu PDRM untuk menambahbaik keberkesanan penguatkuasaan.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Mahmood Adam, dan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan