Kedutaan Malaysia Diharap Percepat Hantar Pulang Jasad Penuntut Mati Dibunuh

Diterbitkan: Selasa, 8 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Kedutaan Malaysia di Jakarta diharap dapat mempercepatkan proses penghantaran pulang jasad seorang penuntut Malaysia, Adrian Jay Pereira, yang ditetak mati di luar rumah sewanya di bandar Malang, Jawatan Timur, Indonesia, pada Isnin malam.

Ibu mangsa Mary Catherine De Cruz, 52, yang tidak dapat menahan air matanya ketika mengingati kematian ngeri anaknya itu, berkata beliau dan anggota keluarganya tidak mahu menghadapi sebarang kesulitan dalam menuntut jasad itu.

"Saya hanya berharap agar jasad anak lelaki saya itu dapat dihantar ke sini dengan selamatnya tanpa sebarang kesulitan.

"Kedutaan Malaysia memaklumkan kepada kita mengenai insiden itu dan sehingga kini, kita tidak pasti apa sebenarnya berlaku," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Taman Klang Jaya di sini pada Selasa.

Menyifatkan Adrian, anak tunggal lelakinya itu, sebagai anak yang patuh dan pelajar terbaik di sekolah, De Cruz berkata ia sesuatu yang sangat menyayat hati apabila melihat jasad anak lelakinya itu nanti dari Indonesia.

"Beliau adalah kesayangan bagi semua orang dan saya sangat sayang kepadanya," katanya.

Pereira, 23 penuntut Fakulti Perubatan, Universiti Brawijaya, Malang, dilaporkan ditetak dengan senjata tajam ketika cuba menghalang seorang lelaki mencuri motosikalnya di luar rumah sewanya di bandar Malang, Jawa Timur, pada Isnin malam.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 7 malam itu, Pereira penuntut tajaan Jabatan Perkhidmatan awam (JPA) itu, dilaporkan ditetak dengan senjata tajam oleh pencuri berkenaan di tempat kejadian.

Menurut Atase Pendidikan Malaysia di Kedutaan Malaysia, Ludinata Misnun kejadian itu bermula pada pukul 6.30 petang di rumahnya apabila beliau bersama dua rakan serumah terdengar bunyi bising di luar rumah mereka.

Pereira yang keluar menyiasat tidak menemui sebarang yang aneh namun beliau mengesyaki ada orang cuba mencuri motosikal yang baru dibelinya.

Beliau kemudian berpesan kepada dua rakan serumahnya supaya mengunci pintu dan menunggu beliau dalam rumah, sementara beliau menaiki motosikal untuk mencari pihak yang disyaki berniat jahat itu.

Tidak berapa lama kemudian selepas gagal menemui orang yang dicari, Pereira pulang semula ke rumah dan sejurus berhenti di luar rumah, beliau secara tiba-tiba diserang dengan tetakan di bahagian kanan lehernya dengan senjata tajam oleh orang yang tidak dikenali.

Semasa kejadian itu, Pereira dilaporkan masih duduk di atas motosikalnya.

Sementara itu hasil bedah siasat Hospital Saiful Anwar, Malang, mendapati kematian Pereira disebabkan luka parah pada leher sebelah kanan akibat ditetak dengan objek tajam.

Sebanyak 173 penuntut Malaysia kini mengikuti pengajian di Malang dan daripada jumlah itu, 161 adalah di Universiti Brawijaya. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan