Cuepacs Bidas DAP - Jangan Jadi Pemimpin Kalau Tak Mahu Pikul Beban

Diterbitkan: Selasa, 8 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan kenyataan pembangkang untuk mengurangkan bilangan penjawat awam jika berjaya mengambil alih kerajaan pusat sebagai idea yang jumud.

Sambil menentang cadangan itu habis-habisan, Presidennya Datuk Omar Osman berkata penjawat awam tidak harus dijadikan mangsa kepentingan politik pihak yang ketandusan idea.

"Tak pernah perkara begini dijadikan isu politik. Jadi kita rasa terguris dan kecewa, di mana mereka sepatutnya lebih menghargai kita. Tak sepatutnya pemimpin yang nak meneraju negara menyekat peluang rakyat untuk sama-sama menyumbang untuk kemajuan negara.

"Kalau nak meneraju negara, tetapi tak nak menghadapi beban, tak nak menghadapi risiko jangan jadi pemimpin," katanya kepada pemberita selepas majlis penjelasan isu semasa penjawat awam di Universiti Putra Malaysia, dekat sini, Selasa.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin DAP Tony Pua yang dilapor sebuah akhbar berbahasa Cina, sebagai berkata pakatan pembangkang akan mengurangkan bilangan penjawat awam dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien seperti yang dilakukan kerajaan China bagi mengurangkan bajet kerajaan.

Mengulas lanjut, Osman berkata penjawat awam di negara ini tidak harus disamakan dengan yang di negara lain, kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan masalah lain seperti pengangguran dan membantutkan pelaksanaan projek kerajaan.

Tambahan pula katanya, jumlah 1.2 juta itu adalah sesuai dengan jumlah penduduk hampir 30 juta, cuma perlu dipertingkatkan kemahiran agar dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik.

"Jadi saya menyeru kepada semua penjawat awam agar menolak idea ini. Ini adalah isu politik. Mereka ketandusan idea tidak ada perkara yang nak dipertikaikan sampai peringkat kita pun nak dipertikaikan.

"Kita harap semua penjawat awam di Malaysia jangan bimbang, kita akan tetap pertahankan, kita akan bersama-sama supaya penjawat awam di negara ini akan terus memberi sumbangan dan berdiri di belakang kerajaan khasnya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang banyak membuat penambahbaikan dalam penjawat awam," katanya.

Sementara itu, Osman berkata maklum balas yang diterima Cuepacs mendapati penjawat awam gembira dengan insentif dan inisiatif yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2012, termasuk pengenalan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam dan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi.

Beliau juga mahu penjawat awam menghargai pemberian itu dengan bekerja bersungguh-sungguh serta meningkatkan mutu kerja. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan