Umno Kedah Siap Sedia Hadapi Banjir - Berita Semasa | mStar

Umno Kedah Siap Sedia Hadapi Banjir

Diterbitkan: Isnin, 7 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KODIANG: Umno Kedah telah membuat persiapan untuk menghadapi banjir yang dijangka lebih besar sekiranya berlaku dalam masa terdekat ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungannya Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata persiapan itu termasuk logistik, pusat penempatan, bekalan makanan kering, selimut dan dua buah bot untuk mangsa banjir.

"Laporan-laporan yang diterima menganggarkan hujan tahun ini agak lebat dan banjir luar biasa dijangka berlaku. Kita tidak tunggu sehingga ia berlaku sebaliknya membuat persiapan awal.

"Sekiranya tidak berlaku alhamdulillah, kalau berlaku kita bersedia hadapinya," katanya pada majlis 'Korban Perdana' Parlimen Jerlun sempena Hari Raya Aidiladha di Kampung Pering di sini, Isnin.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata bekalan makanan kering disimpan di sebuah tempat tinggi dan mudah diagihkan apabila berlaku banjir.

Katanya bantuan dan pemindahan mangsa banjir dijangka dapat dilakukan lebih cepat kali ini berdasarkan pengalaman tahun lepas yang bermula di kawasan rendah.

"Semasa banjir tahun lepas, Skuad Bencana Umno yang lebih cepat bertindak menyalurkan bantuan kepada mangsa dan sekarang kami lebih bersedia menghadapinya," kata Mukhriz.

Mengenai korban perdana itu, beliau berkata sebanyak 175 ekor lembu disumbangkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Jerlun untuk dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha.

"Kita buat korban perdana ini yang terbesar di Kedah (setahu saya) bukan untuk menunjuk-nunjuk. Bukan selalu kita boleh buat tetapi inilah makna pengorbanan.

"Sebagai umat Islam, pengorbanan pada Aidiladha harus difahami selain daging korban diagihkan kepada golongan yang berhak dan orang ramai juga mendapat manfaatnya," kata beliau.

Semua 170 buah kampung dalam Parlimen Jerlun mendapat seekor lembu korban bagi setiap kampung manakala tiga ekor disumbangkan kepada sekolah-sekolah agama dan dua ekor dibuat kenduri kampung sempena majis itu bermula 7 pagi hingga 3 petang yang dihadiri kira-kira 3,000 orang. -BERNAMA

   

iklan

Video

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Khamis, 5 Julai 2018 7:02 PM

Ngeri! Nampak kaki dalam beg baju

Kolumnis

iklan

Iklan