Inisiatif Arab Saudi Jadikan Ibadah Haji Selesa - Jamil

Diterbitkan: Isnin, 7 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MEKAH: Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan, dan yang sedang dirancang oleh kerajaan Arab Saudi ketika ini dilihat mampu menjadikan ibadah haji pada masa akan datang semakin bertambah selesa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata contoh ketara yang dapat dilihat ketika ini adalah pembangunan tempat melontar di ketiga-tiga jamrat secara bertingkat, yang menjadikan ibadah melontar cukup selesa.

Beliau berkata selain itu, dengan pengenalan tempoh khusus buat jemaah dari pelbagai benua untuk melontar, ia tambah memudahkan dan memberi keselesaan kepada jemaah haji dari seluruh dunia menunaikan kewajipan itu.

"Saya yakin dengan pelbagai inisiatif dan infrastruktur yang sedang dirancang seperti pembesaran Masjidil Haram, pembangunan jaringan kereta api lebih baik, Insya-Allah semua ini akan tambah memberi keselesaan kepada jemaah haji pada masa akan datang," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa hendak melontar di tiga jamrat, pada Isnin.

Hari ini merupakan 11 Zulhijjah, yang menyaksikan kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia tahun ini melontar di tiga jamrat, yang merupakan salah satu daripada wajib haji.

Jemaah haji membanjiri kawasan Mina semasa menunaikan kewajipan itu, dengan kerajaan Arab Saudi menyediakan ratusan ribu khemah buat semua jemaah muasassah.

Sementara itu, ada juga jemaah haji yang bermalam di kaki-kaki lima dan bukit berbumbungkan langit di sekitar kawasan melontar di jamrat sehingga menyesakkan lagi keadaan, semasa pihak berkuasa Arab Saudi bekerja keras memastikan orang ramai tidak berhimpun terlalu lama di kawasan laluan jamrat.

Jamil Khir berkata beliau yakin kerajaan Arab Saudi akan berusaha mencari inisiatif terbaik untuk mengurangkan lagi kesesakan, yang pastinya akan membangkitkan lagi kecantikan persekitaran di tanah suci. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan