Perbelanjaan Pendidikan Disambut Baik Namun Standard B.Inggeris Masih Jadi Isu

Diterbitkan: Ahad, 6 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: 6 Nov (Bernama) Malaysia berada pada kedudukan yang setara atau mendahului beberapa negara serantau daripada segi pelaburan dalam bidang pendidikan.

Bagaimanapun, kualiti penguasaan bahasa Inggeris mahasiswa di negara ini masih terus menjadi isu.

Dr Marie Aimee Tourres, seorang felow penyelidikan kanan di Jabatan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya, berkata adalah penting bagi siswazah menguasai bahasa Inggeris untuk memastikan mereka berupaya bersaing dengan berkesan dalam pasaran pekerjaan global.

Namun begitu, "daripada segi perbelanjaan pendidikan, Malaysia boleh dibandingkan dengan beberapa negara di rantau ini berdasarkan kepada peratusan perbelanjaan yang dikeluarkan ke atas pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara di sini.

Beliau berkata Malaysia sebenarnya mengeluarkan perbelanjaan yang lebih berbanding negara lain.

Dalam Belanjawan 2012, sejumlah RM13.6 bilion diperuntukkan kepada sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan dan pembangunan masyarakat.

Dr Tourres berkata terdapat banyak tumpuan yang diberikan kepada latihan dan melatih semula siswazah, aspek yang penting untuk terus menambah baik pekerja berkemahiran dan berpengetahuan di negara ini.

Bagaimanapun, kualiti mahasiswa masih menjadi isu di Malaysia, memandangkan pelajar mendapati sukar untuk menguasai bahasa Inggeris.

"Bahasa sememangnya satu isu," katanya, memetik penerbitan terbaru oleh Bank Dunia bertajuk 'The Road to Academic Excellence', iaitu kajian mengenai perkara yang menyumbang kepada sebuah universiti penyelidikan bertaraf dunia.

Kajian itu membandingkan Universiti Malaya (UM) dan National University of Singapore (NUS) dalam bab bertajuk 'The National University of Singapore and the University of Malaya: Common Roots and Different Paths'.

Dalam laporan itu, dinyatakan bahawa NUS bergerak seiring tuntutan ekonomi yang berkembang, yang berusaha untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa, dengan terus menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa arahan dan penyelidikan, UM mula memberi tumpuan ke dalam ketika kemahiran berbahasa Inggeris semakin merosot bagi memartabatkan bahasa kebangsaan.

Penerbitan itu, yang berdasarkan kepada kajian yang dikendalikan oleh dua cendekiawan, Philip Altbach dan Jamil Salmi, turut menyebut bahawa memandangkan sebahagian besar kursus di UM dikendalikan dalam bahasa kebangsaan, universiti itu mempunyai program pengantarabangsaan, petugas akademik dan badan pelajar yang lebih terhad.

"Generasi ini terpaksa berdepan dengan standard dan persaingan antarabangsa dalam pasaran pekerjaan, sebagai sebahagian daripada globalisasi," kata Dr Tourres.

Beliau memberi contoh Pakistan, tempat beliau memberi syarahan.

"Di Pakistan, sungguhpun rakyatnya bertutur dalam dialek yang berbeza, selepas bahasa Urdu, penguasaan bahasa Inggeris mereka lebih baik daripada siswazah kita," katanya.

Ini menjadikan mereka mempunyai kebolehpasaran dalam persekitaran global yang kompetitif, katanya lagi.

"Keputusan segera daripada keupayaan bahasa Inggeris mereka ialah anda boleh lihat ramai rakyat Pakistan yang bekerja dalam organisasi antarabangsa, misalnya Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa," kata Dr Tourres.

Beliau percaya bahawa sekalipun Malaysia memberi lebih tumpuan kepada bahasa Inggeris, namun bahasa dan kebudayaan kebangsaan masih boleh berkembang maju, asalkan pengajarannya dibuat dengan cara yang menarik.

"Lebih banyak bahasa Inggeris di sekolah tidak akan menjadi penghalang masing-masing kepada budaya Melayu, India dan Cina. Kita tidak seharusnya mencampur-adukkan isu penguasaan bahasa dan pemeliharaan warisan kebangsaan," katanya.

Mengenai pengagihan baucar buku bernilai RM200 kepada semua pelajar Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, matrikulasi selain pelajar Tingkatan Enam di seluruh negara, beliau percaya ia seharusnya dipantau untuk memastikan tujuan pelaksanaan projek itu tercapai.

Bantuan itu dijangka memanfaatkan 1.3 juta pelajar dengan peruntukan RM260 juta.

"Jumlah itu sememangnya besar. Mungkin, ia boleh dilaksanakan berdasarkan meritrokasi untuk memastikan peruntukan itu digunakan dengan sewajarnya," kata Dr Tourres.

Beliau turut menarik perhatian bahawa terdapat risiko pelajar menjual semula baucar berkenaan, lebih-lebih lagi apabila generasi baru yang disasarkan itu kurang tabiat membaca dan lebih gemar melayari internet untuk mendapatkan bahan pembelajaran mereka. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan