Seksualiti Merdeka: Cuba Promosikan Seks Songsang - Zulkifli Nordin

Diterbitkan: Sabtu, 5 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Nordin mengutuk serta membantah tindakan Majlis Peguam menyokong penganjuran Program Seksualiti Merdeka 2011.

Wakil rakyat Bebas itu berkata program berkenaan adalah satu usaha untuk menghalalkan seks songsang dan luar tabii.

"Ini adalah usaha menukar ketamadunan kemanusiaan kepada ketamadunan haiwan, mempromosikan serta menghalalkan amalan seks songsang seperti lesbian, gay, bisekual dan transgender (LGBT).

"Justeru, saya mengutuk keras penglibatan Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee dan bekas Presidennya, Datuk S. Ambiga dalam penganjuran dan pelancaran Program Seksualiti Merdeka pada 9 November ini," katanya dalam entri terbaru di blognya pada Jumaat.

Beliau berkata, program tersebut diambil daripada program ‘Pertemuan Yogyakarta 2006' yang mempromosikan dan menggalakkan perlakuan seks bebas.

"Ini adalah amalan seks songsang dan luar tabii yang ditolak bukan sahaja oleh tamadun kemanusiaan dan akhlak, malah ditolak oleh semua agama termasuk agama Islam, Kristian & Yahudi," katanya.

Tegasnya, Chee Wee tidak berhak mengheret Majlis Peguam menyokong festival seks songsang berkenaan kerana lebih daripada 13,000 peguam yang berdaftar dengan Majlis Peguam beragama Islam.

"Apabila mereka mengheret Majlis Peguam dalam program ini ia boleh menimbulkan fitnah kepada para peguam yang beragama Islam.

"Malahan fitnah ini sudah muncul kerana banyak pertanyaan oleh orang awam khususnya dikalangan umat Islam apa pendirian para peguam beragama Islam dengan gelagat Majlis Peguam yang menyokong Program Seksualiti Merdeka ini," katanya.

Justeru, beliau menyeru semua peguam Islam dan peguam lain supaya menghormati akhlak dan peradaban kemanusiaan serta bangkit dan menentang kemungkaran penganjuran aktiviti terkutuk ini dengan segera.

"Saya mendesak Chee Wee serta pimpinan Majlis Peguam menarik balik sokongan itu.

"Kalau mereka nak menyokong, mereka boleh berbuat sedemikian atas sifat peribadi dan bukannya dengan mengheret Majlis Peguam dalam isu ini,” katanya.

Beliau berkata, apa yang dirisaukan adalah penganjuran program Seksualiti Merdeka tersebut akan menghalalkan amalan seks songsang sekaligus menghapuskan peruntukan Seksyen 377A-D Kanun Keseksaan.

"Justeru, saya menyeru semua rakyat Malaysia yang masih mempunyai tamadun dan akhlak kemanusiaan supaya menolak dan membantah dengan keras Program Seksualiti Merdeka ini," katanya.

Rabu lalu, Chee Wee mewakili Majlis Peguam menegaskan jika negara ini ingin dihormati sebagai sebuah negara demokrasi, ia mestilah terlebih dahulu menghentikan sebarang penindasan ke atas golongan minoriti seksual yang terdiri daripada golongan LGBT.

Majlis Peguam juga mahu kerajaan bertindak segera memberi perlindungan kepada golongan ini dengan memperkenalkan satu undang-undang baru bagi mengantikan undang-undang yang mengenakan kawalan yang tidak sepatutnya ke atas hak individu golongan LGBT di Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Majlis Peguam, katanya lagi tidak akan berganjak daripada terus memberi sokongan ke atas program Seksualiti Merdeka yang telah pun bermula dari 1 November lalu sehingga 13 November ini.

Program Seksualiti Merdeka adalah acara tahunan yang diadakan bagi meraikan hak asasi manusia yang terdiri daripada pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina.

Ia dianjurkan oleh sekumpulan gabungan longgar NGO, artis, aktivis dan individu sejak 2008.

Antara program yang dirancang sepanjang festival berkenaan, termasuk forum, ceramah, bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan