Kerajaan Pastikan Dasar Baru Tidak Membebankan:Muhyiddin

Diterbitkan: Sabtu, 5 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hari ini, membuktikan kerajaan responsif dan memastikan dasar baru yang hendak dilaksanakan tidak membebankan dan menjejaskan pembelajaran di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata disebabkan itu bagi pelajar yang sudah ada dalam sistem PPSMI, mereka dibenarkan meneruskannya sehingga habis.

"Sementara pelajar yang baru masuk sekolah pula akan mengikuti sistem baru iaitu Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

"Jadi saya haraplah (keputusan mengenai PPSMI) diterima baik oleh semua peringkat masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mengenai pelaksanaan "Soft Landing" PPSMI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Jumaat.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pekeliling baru akan dikeluarkan secepat mungkin kerana pekeliling asal mungkin tidak jelas serta sedikit mengelirukan terutamanya berhubung pelajar Tingkatan Satu tahun hadapan perlu menggunakan Bahasa Malaysia (BM) sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran itu.

Mengenai buku teks sekolah pula, beliau berkata ia akan dibekalkan dalam BM dan juga Bahasa Inggeris (BI), jadi terpulang kepada pihak sekolah untuk memilih.

"Kertas peperiksaan untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibuat dalam dwibahasa dan pelajar bebas untuk memilih sama ada hendak menjawab dalam BM atau BI," katanya.

Mengenai pemilihan pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains sama ada dalam BM atau BI ditentukan pihak sekolah atau ibu bapa, Muhyiddin berkata:" sekarang pun sekolah sudah membuat keputusan sendiri".

"Semasa kita kata PPSMI dibuat dalam BI apabila sekolah tengok ia tidak boleh dilaksanakan, mereka gunakan BM, jadi sekolah teruskanlah," katanya dan menambah kata sekolah lebih arif mengenainya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan