Kedah Akan Bina Sekolah Tahfiz Di Langkawi

Diterbitkan: Sabtu, 5 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YAN: Kerajaan negeri Kedah akan membina sebuah Sekolah Tahfiz Sains di Pulau Tuba, Langkawi sebagai sebahagian usaha menjadikan negeri itu sebagai pusat ilmu terkemuka.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata pihaknya telah mengenal pasti tanah yang sesuai untuk dijadikan tapak pembinaan bangunan sekolah berkenaan.

"Bajet kita telah buat dan tanah telah ada seluas 12.21 hektar di Pulau Tuba. Pada masa ini seramai 50 orang pelajar tahfiz tingkatan satu sedang belajar di bangunan sekolah sementara di Kulim," katanya kepada pemberita pada majlis sumbangan bantuan kepada 302 pelajar institusi pengajian tinggi awam dari kerajaan negeri di sini, Sabtu.

Beliau berkata sekolah itu disasarkan kepada pelajar cemerlang lepasan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50 orang pelajar sedia ada yang merupakan kumpulan pertama sekolah berkenaan.

Azizan berkata kos membina bangunan sekolah itu dianggarkan menelan belanja melebihi puluhan juta ringgit iaitu termasuk peruntukan membina asrama, makmal dan pelantikan para guru.

"Kita bina secara bertahap dan dalam tempoh tiga tahun dijangka siap," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pengajian bagi pelajar Fakulti Perubatan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Mergong, Alor Setar dijangka bermula bulan depan dengan seramai 100 orang pelajar baru layak mengikuti program itu.

"Sekarang tinggal sedikit masalah teknikal sahaja yang mana kita sedang pastikan persiapan akhir seperti bilik makmal dan sebagainya. Pensyarah semua sudah dilantik termasuk profesor," katanya.

Azizan berkata Kuin telah membeli 10 mayat yang berharga RM100,000 bagi memudahkan proses pembelajaran pelajar fakulti berkenaan.

Beliau berkata kerja-kerja pembinaan kampus Kuin yang baru seluas 325.6 hektar di Kuala Ketil berjalan lancar sebanyak 45 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun depan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan