Jawatankuasa Kira-Kira Wang Perak Mahu Penjelasan Isu Teroka Hutan

Diterbitkan: Sabtu, 5 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak akan mendapatkan penjelasan Jabatan Perhutanan Negeri Perak berhubung isu penerokaan dan pencerobohan haram hutan-hutan simpan, kata Pengerusinya Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Beliau berkata penjelasan tersebut akan merangkumi seluruh kawasan hutan negeri dan tidak sahaja memfokuskan soal pencerobohan Hutan Simpan Chikus yang dilaporkan media baru-baru ini.

"Kita akan meminta penjelasan daripada Jabatan Perhutanan mengenai punca masalah ini...adakah berpunca akibat kecuaian ataupun kekurangan kakitangan jabatan menyebabkan berlakunya penerokaan haram.

"PAC juga mahu mendengar bentuk tindakan yang akan diambil bagi mengelak perkara ini berulang dan menyebabkan kerugian kepada negeri," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Raja Ahmad Zainuddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah, berkata pihaknya akan mendapatkan jumlah sebenar kawasan hutan simpan di negeri ini dan statistik kawasan yang diteroka secara haram serta maklumat peneroka sama ada individu ataupun syarikat.

Beliau berkata pencerobohan dan penerokaan hutan simpan adalah isu serius kerana implikasinya bukan sahaja merugikan sumber hasil negeri tetapi menimbulkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

"Kita tidak mahu kawasan tadahan hujan dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab...kerana itulah kita mahukan penjelasan sama ada perbuatan ini dilindungi mana-mana pihak, kecuaian atau kekurangan anggota penguat kuasa," katanya.

Menurutnya PAC juga ingin mendapatkan penjelasan berhubung isu penerokaan Hutan Simpan Chikus yang dikatakan telah diteroka sejak 20 tahun lalu dan tiada tindakan undang-undang diambil.

"Sekiranya ini benar-benar berlaku, saya rasa kerugian pendapatan kepada kerajaan negeri adalah amat besar," katanya.

Baru-baru ini, Anggota Exco Kerajaan Negeri, Datuk Zainol Pazdi Paharuddin mendedahkan kegiatan penerokaan tanah secara haram di kawasan Hutan Simpan Kekal Chikus.

Beliau mendakwa Jabatan Perhutanan Negeri tidak mengambil sebarang tindakan tegas dalam membendung kegiatan penerokaan itu meskipun telah berkali-kali dibangkitkan sebelum ini.

Tinjauan ke kawasan itu juga mendapati sebahagian besar kawasan tanah berkenaan diteroka dengan menebang pokok-pokok hutan dan menggantikannya dengan tanaman sawit dan tanaman kontan sepeti betik, limau kasturi, limau nipis dan jambu batu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan