Suruhanjaya Sekuriti & Bursa Malaysia Siasat Pertukaran Saham MAS-AirAsia

Diterbitkan: Khamis, 3 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia sudah memulakan siasatan berhubung perjanjian pertukaran saham antara syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa siasatan itu juga akan melihat sama ada berlaku "insider trading" atau perdagangan orang dalam.

"Buat masa ini (kemungkinan) insider trading sedang disiasat oleh SC dan Bursa. Cuma ia memerlukan masa sebab ia melibatkan jumlah akaun yang banyak dan nilai yang tinggi. "Dalam hal ini kita perlu teliti betul-betul bagi memisahkan (mereka yang mungkin terlibat dengan) insider trading dan mereka yang bukan," katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 Peringkat Jawatankuasa kementeriannya.

Beliau menjawab celahan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) mengenai hal tersebut.

Awang Adek berkata sekiranya siasatan SC dan Bursa Malaysia mendapati ada asas-asas yang menunjukkan kemungkinan insider trading, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia boleh dipanggil untuk menyiasat.

Beliau turut memberitahu sidang Dewan Rakyat bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menambah 1,000 anggota penguatkuasa untuk Jabatan Kastam tahun depan dalam usaha memerangi penyeludupan rokok haram.

"Walaupun JPA telah membekukan pengambilan pekerja, ia masih memberi kelonggaran kepada Jabatan Kastam untuk tujuan tersebut," katanya.

Katanya bilangan pegawai penguatkuasa jabatan itu ditambah 1,000 orang tahun ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan