Protes Kenaikan Harga Barang Diperluas Ke Sabah, Sarawak - Berita Semasa | mStar

Protes Kenaikan Harga Barang Diperluas Ke Sabah, Sarawak

Diterbitkan: Khamis, 3 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) komited memperluaskan tindakan protes secara senyap isu kenaikan harga barang di Sabah dan Sarawak.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata, penglibatan kongres juga akan menganjurkan penerangan khas berhubung isu tersebut menerusi sokongan badan bukan kerajaan (NGO).

"Justeru, saya minta semua penjawat awam di seluruh negara melakukan protes senyap ini secara berterusan dan kita mensasarkan untuk tempoh tiga bulan bermula bulan ini hingga Januari tahun depan sebagai permulaan. "Tak perlulah kita berarak di jalan raya untuk menunjukkan protes, cukup dengan hanya melakukan secara senyap memboikot peniaga yang menaikkan harga barang," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Khas CUEPACS Peringkat Kebangsaan di Seri Negeri di sini, Khamis.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh.

Sebelum ini katanya usaha kongres itu turut mendapat sokongan daripada Majlis Belia Malaysia (MBM), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Jelas beliau, kongres di peringkat negeri telah diarah untuk menjalankan tindakan yang sama supaya para peniaga lebih prihatin dan memberikan kerjasama agar tidak menaikkan harga barangan terutamanya ketika musim cuti persekolahan dan sambutan perayaan Krismas tidak lama lagi.

"Sekurang-kurangnya kita berharap dapat memperoleh jumlah 40 peratus iaitu kira-kira 520,000 penjawat awam mempunyai kesedaran untuk memboikot kenaikan harga barang.

"Jika hendak mencapai 100 peratus sememangnya mustahil, tetapi jika semua melakukan tindakan ini, implikasinya akan dapat dilihat," kata Omar. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan