Tiada Unsur Rasuah Dalam Pembelian Binokular Jabatan Taman Laut Malaysia – SPRM

Diterbitkan: Rabu, 2 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tiada unsur rasuah dalam pembelian binokular marin penglihatan malam (Bushnell Binocular Night Version) oleh Jabatan Taman Laut Malaysia yang sepuluh kali ganda lebih mahal berbanding harga pasaran.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata, sebaliknya siasatan SPRM mendapati ia berpunca daripada kegagalan untuk membuat kajian pasaran.

"Kegagalan membuat kajian pasaran adalah tidak mematuhi arahan Perbendaharaan dan tatacara pengurusan perolehan kerajaan secara tender," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Beliau berkata kajian pasaran sepatutnya dilakukan dengan mengambil kira aspek kualiti, harga, kegunaan, kos penyelenggaraan dan faktor lain yang berkaitan.

SPRM menjalankan siasatan terhadap pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2010 berkenaan pembelian beberapa peralatan oleh Jabatan Taman Laut yang dilaporkan 177 peratus hingga 2,805 peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran.

Mohd Shukri berkata SPRM mencadangkan Jabatan Laut mengambil tindakan tegas terhadap pegawai perolehan terbabit termasuk kemungkinan mengenakan surcaj terhadap pegawai yang gagal membuat kajian pasaran sekaligus menyebabkan kerajaan rugi.

"Tindakan tatatertib perlu dikenakan terhadap pegawai perolehan yang gagal membuat kajian pasaran manakala syarikat pembekal binokular berkenaan disenarai hitam oleh kerajaan kerana memanipulasi harga," katanya.

Mohd Shukri berkata, pembelian binokular tersebut dilakukan secara berpakej bersama bot, komputer riba, televisyen, mesin pencetak dan peralatan lain melalui prosedur tender yang ditetapkan.

Beliau menjelaskan sebanyak enam syarikat telah mengemukakan tender dengan tiga daripadanya disenarai pendek dan syarikat yang berjaya pada peringkat akhir telah menawarkan harga RM7.5 juta.

"Harga RM7.5 itu adalah lebih rendah berbanding harga siling RM10 juta yang diluluskan kerajaan, tawaran yang dibuat dianggap murah jika dikira secara berpakej.

"Namun beberapa alat terutamanya binokular telah ditawarkan dengan lebih mahal, dua binokular dijual dengan harga melebihi RM100,000 berbanding harga pasaran kira-kira RM10,000 sahaja," katanya.

Sementara itu katanya, SPRM dari semasa ke semasa akan mengumumkan siasatan lengkap terhadap kesemua kes yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

"Sebagai makluman, sebanyak 16 orang didakwa berdasarkan siasatan terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2008 dan tiga lagi didakwa berdasarkan laporan 2009," katanya.

SPRM telah bertindak terhadap pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 dengan membuka 36 fail siasatan. -BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan