Kerajaan Negeri P.Pinang Digesa Nyata Pendirian Berhubung Hudud

Diterbitkan: Rabu, 2 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pada Rabu menggesa kerajaan negeri pimpinan DAP menyatakan pendirian sama ada menyokong atau membantah hukum hudud untuk dilaksanakan di Pulau Pinang.

Shabudin Yahya (BN-Permatang Berangan) berkata kerajaan negeri perlu memberi perjelasan kerana rakyat Pulau Pinang ingin mengetahui pendirian mereka.

"PAS yang merupakan anggota Pakatan memperjuangkan isu hudud, jadi bagaimana dengan Pulau Pinang, adakah menyokong atau tidak atau ada penyelesaian lain berhubung isu ini," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2012 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Katanya beliau juga kecewa dengan sikap Ketua Menteri Lim Guan Eng yang dilihat cuba mengelak daripada menjawab soalan berhubung isu hudud di persidangan DUN.

"Saya kemukakan soalan bertulis bagi mendapatkan kata putus kerajaan negeri berhubung isu hudud (dan telah) ditolak dengan alasan ia bersangkut paut dengan Ketua Menteri," katanya.

Beliau mengingatkan kerajaan negeri agar tidak terus bermain politik dan berani tampil menjawab berhubung isu hudud.

Sementara itu, Shabudin berkata rakyat Pulau Pinang juga ingin tahu sama ada borang pengisytiharaan harta Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang digembar-gemburkan Ketua Menteri telah dilaksanakan.

Katanya Lim pernah mengumumkan semua Exco Pulau Pinang perlu isytihar harta dan rakyat ingin tahu sama ada kerajaan negeri benar-benar mengamalkan konsep Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

Dalam perkembangan lain, Shabudin mahu Lim memohon maaf secara terbuka kepada beliau berikutan tindakannya selaku Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendedahkan maklumat bil elektrik di rumahnya melalui satu rakaman dalam laman YouTube.

"Menurut Seksyen 68 dan 80 telah dengan jelas maklumat-maklumat penguna dan pelanggan adalah rahsia, bagaimanapun beliau (Lim) sebagai Pengerusi PBAPP yang langsung tidak beretika dengan tanpa kebenaran saya telah mendedahkan maklumat bil air saya menerusi satu rakaman yang dimuat naik dalam YouTube pada 16 Mei lepas," katanya.

Shabudin berkata jika Lim enggan memohon maaf secara terbuka, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan