Usul Pemotongan Gaji Perdana Menteri Dibahaskan Esok

Diterbitkan: Selasa, 1 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Usul untuk memotong gaji satu bulan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebanyak RM22,826.65 akan dibahaskan di peringkat Jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 pada pukul 11.30 pagi, Rabu.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, usul itu dicadangkan kerana Najib gagal mengurus tadbir negara dengan baik, hutang negara semakin meningkat kepada 51 peratus daripada nisbah pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan kadar inflasi tidak terkawal.

"Saya rasa pemotongan gaji itu tidak menjejaskan fungsi beliau sebagai Perdana Menteri tetapi sekurang-kurangnya mampu memberi isyarat kepadanya untuk menjalankan tugas dengan baik," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, Selasa.

Menurut Tian Chua yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), sejak Perdana Menteri memegang jawatan itu pada April 2009 pelbagai masalah dan kepincangan yang timbul di bawah pentadbiran beliau.

"Tahun ini merupakan kemuncaknya di mana pelbagai perkara berlaku dan Perdana Menteri gagal menanganinya," katanya.

Tian Chua turut mempertikaikan pembaziran yang dilakukan oleh Najib dan isteri ketika merantau ke luar negara.

"Ketika percutian peribadi Najib dan keluarga ke Perth, Australia baru-baru ini, mereka menggunakan pesawat Airbus yang dimiliki kerajaan...malah lawatan ke Kazakhstan mencecah RM1 juta," dakwanya.

Ia merupakan kali pertama Pakatan Rakyat mengemukakan usul di bawah peraturan mesyuarat 66 (9) yang menyerupai usul undi tidak percaya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan