Jentera BN Perlu Bekerja Keras Menang Pilihan Raya - Zahid Hamidi

Diterbitkan: Isnin, 31 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PANGKOR: Jentera parti Barisan Nasional (BN) terutamanya Umno hendaklah bekerja keras dan berazam mengekalkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di samping merampas semula kerusi yang dikalahkan calon parti pembangkang sebelum ini, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jentera parti yang mendukung aspirasi kerajaan BN hendaklah bersiap sedia dengan perancangan dan pelaksanaan strategi yang benar-benar berkesan.

Beliau berkata peristiwa pahit yang berlaku pada PRU ke-12, tetap menjadi sejarah hitam kepada BN dan berharap ia tidak berulang lagi selepas BN mengalami kekalahan teruk di tangan pembangkang.

Menurutnya peristiwa ini berpunca daripada kelalaian dan kesilapan anggota parti BN dan Umno sendiri.

"Namun begitu, ada hikmah di sebalik kejadian itu supaya kita sentiasa bermuhasabah atas kesilapan yang dilakukan di samping menjadikan ia sebagai teladan untuk kita lebih berhati-hati pada masa akan datang," katanya ketika berucap di majlis penutup Kolokium Gagasan 1Malaysia Umno Bahagian Bagan Datoh, di sini, Ahad.

Kira-kira 500 anggota Umno Bahagian Bagan Datoh menyertai kolokium berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata semua pendukung parti dan jentera pilihan raya BN mesti sentiasa berazam untuk memperoleh kerusi melebihi dua pertiga bagi memudahkan calon-calon yang menang menubuhkan kerajaan.

"Sehubungan itu saya merayu agar semua pendukung kerajaan BN terutama pemimpin dan ahli parti Umno serta BN merapatkan saf perpaduan agar rakyat dapat memberi mandat baru kepada BN untuk terus memerintah negara pada pilihan raya akan datang.

Beliau meminta pelbagai program digerakkan secara berterusan sehingga tarikh pilihan raya diumumkan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan