Banjir Thailand: Syarikat Kereta Terjejas Ditawar Dua Pilihan

Diterbitkan: Isnin, 31 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir, menawarkan dua pilihan kepada syarikat-syarikat autmotif yang terjejas oleh banjir di Thailand.

Beliau berkata syarikat-syarikat itu boleh, sama ada menggunakan kapasiti sedia ada di Malaysia untuk membantu kilang-kilang mereka di Thailand agar dapat menyiapkan bahagian dan komponen bagi eksport ke luar negara, atau menggunakan Malaysia sebagai pangkalan untuk membuat lebih banyak komponen-komponen ini. "Kita faham syarikat-syarikat ini mesti memastikan operasi mereka tidak terjejas ekoran banjir itu, tetapi pada masa yang sama, kita perlu berhati-hati kerana kita tidak mahu dianggap mengambil kesempatan daripada situasi yang dihadapi jiran kita," katanya Isnin.

Mukhriz berkata kementerian itu telah menerima pertanyaan daripada syarikat dari semua sektor, termasuk automotif yang terjejas oleh banjir di Thailand itu.

"Ada 10 syarikat Malaysia dalam sektor automotif yang menerima kesan buruk daripada banjir itu. Mereka perlu mencari jalan untuk mengurangkan isu ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Anugerah ICT Kedua NEF-AWANI di sini.

Tentang dasar automotif negara, Mukhriz berkata kerajaan perlu mencari keseimbangan dalam pelaksanaannya.

"Selain itu, kita perlu menggalakkan pelabur dalam sektor ini untuk menganggap Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik dan pada masa yang sama, kita ada pengeluar-pengeluar tempatan yang memerlukan masa dan peluang untuk meningkatkan daya saingan dengan nama-nama besar di luar sana.

"Ini dasar adil. Dasar yang dilaksanakan oleh banyak negara sebelum ini. Malaysia menggunakan pendekatan yang sama," katanya.

Mukhriz berkata kerajaan akan mengkaji semua aspek, khususnya pelabur-pelaburnya sendiri, apabila mempertimbang liberalisasi pasaran.

"Apa jua yang kita lakukan, ia tidak akan mengorbankan industri tempatan kita sendiri. Kita perlu cari keseimbangan. Walaupun kita buat begitu, kita juga membuka pasaran baharu bagi syarikat kita sendiri," katanya.

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pernah dilaporkan berkata sektor automotif Malaysia haruslah mempersiapkan diri bagi pelonggaran sepenuhnya, dan beliau telah menyuarakan harapan agar kerajaan memberikan masa yang mencukupi kepada pelabur tempatan untuk membuat persiapan bagi pelonggaran ini. Mukhriz berkata Malaysia sudah bersedia bagi pelonggaran ini dari beberapa aspek. "Kita sudahpun membuka pasaran bagi persaingan seperti kenderaan elektrik dan kereta hibrid," katanya.

Beliau juga berkata kementeriannya telah berbincang dengan pemilik kepentingan termasuk pelabur-pelabur asing untuk memastikan kajian dasar mengekalkan persekitaran yang sesuai dan kondusif bagi perkembangan industri.

"Kita mengambil kira pandangan semua pihak tentang perkara ini dan apa juga keputusan yan diambil akan menangani isu-isu ini," tegasnya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan