Usahawan Coklat Buatan Tangan Digalak Daftar Dengan LKM

Diterbitkan: Ahad, 30 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Kesemua usahawan coklat buatan tangan di negara ini digalakkan berdaftar dengan Lembaga Koko Malaysia (LKM) dalam usaha badan itu mengenal pasti saiz sebenar industri tersebut, sekali gus memantau kualiti coklat buatan tangan keluaran negara.

Ketua Pengarah LKM Datuk Dr Azhar Ismail berkata buat masa ini terdapat 110 pengusaha coklat buatan tangan di seluruh negara yang berdaftar dengan LKM, namun beliau percaya terdapat ramai lagi usahawan bidang tersebut yang bergerak secara sendirian.

"Bila kita dah dapat maklumat terkini dan betul, kerajaan akan memberi sokongan yang lebih kepada kita. Buat masa sekarang walaupun kerajaan bagi sokongan tapi kita cuma boleh beri angka yang berdaftar.

"Kalau dapat maklumat sepenuhnya, termasuk yang belum berdaftar pada masa ini, mungkin kerajaan akan memberi peruntukan yang lebih besar kepada industri koko," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Keusahawanan Coklat Buatan Tangan Malaysia di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (Maeps) di sini Ahad.

Azhar berkata jumlah jualan coklat di negara ini meningkat sebanyak 3-4 peratus setahun, sehingga mencecah RM397 juta pada tahun lalu, manakala pengeluaran coklat pula berjumlah 118 tan metrik pada tahun lalu berbanding 15 tan metrik pada 2006.

Beliau berkata sebanyak RM9.6 juta dicatatkan sebagai pendapatan 110 pengusaha coklat tersebut pada tahun lalu, berbanding RM1 juta pada 2006 yang dicatatkan oleh 14 usahawan yang berdaftar.

"Industri coklat buatan tangan ini sememangnya mempunyai masa depan yang cerah memandangkan ia mempunyai pasaran yang luas serta sokongan-sokongan dari pihak kerajaan terutama dari segi pembekalan coklat, peluang-peluang pemasaran dan modal.

"Jenama coklat Malaysia juga mula dikenali dan setanding dengan kualiti coklat-coklat keluaran negara lain dan kita juga sudah mula mengeksport coklat-coklat ini ke luar negara termasuk negara-negara Timur Tengah dan Indonesia," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan