Tun Mahathir Saran Negara Islam Kaya Sumbang Zakat Kepada Negara Miskin

Diterbitkan: Ahad, 30 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu mencadangkan agar sebahagian kecil kutipan zakat dari negara Islam yang kaya diberi kepada negara miskin atau rakyat miskin di negara lain.

Ini kerana katanya, lapan asnaf yang layak menerima zakat sudah tidak wujud di kebanyakan negara kaya, selain kutipan juga melebihi keperluan mereka yang ada.

"Jika kita menganggap diri kita sebagai ummah, masyarakat Islam yang menggunakan wang zakat untuk membantu golongan miskin di negara lain tidak akan dianggap melanggar kategori mereka yang memerlukan bantuan zakat," katanya di sini Sabtu.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada hari pertama Persidangan Antarabangsa Kewangan dan Ekonomi Islam Langkawi (LIFE) ketiga bertema "Perbankan dan Kewangan Islam: Wakaf, Zakat dan Sedekah sebagai Pemerkasaan dan Strategi Komuniti Untuk Transformasi Ekonomi Ummah".

Dr Mahathir yang juga penaung LIFE berkata walaupun hanya sebahagian kecil daripada 2.5 peratus zakat yang dikutip disumbangkan, jumlah itu sudah lebih daripada cukup untuk membantu meringankan penderitaan penduduk miskin.

"Saya percaya jika sebuah tabung diwujudkan bagi mengumpul sumbangan zakat daripada negara kaya, akan ada wang yang mencukupi bagi membina infrastruktur bagi membolehkan negara miskin membangun dan menghasilkan peluang kerja menerusi pelaburan dalam industri berasaskan buruh.

"Bolehkah kita menggunakan zakat untuk infrastruktur? Jika untuk membasmi kemiskinan dan mengurangkan penderitaan penduduk di negara Islam yang miskin, saya fikir kita tidak bertentangan dengan hukum Islam," katanya.

Beliau berkata ulama boleh meneliti perkara tersebut dan mengeluarkan fatwa mengenainya.

Bagi mengumpul dan mentadbir dana zakat itu, Dr Mahathir mencadangkan agar sebuah institusi diwujudkan dan dikendali oleh petugas daripada negara yang menyumbang.

"Menerusi perakaunan yang sewajarnya, serta ada ketelusan dan peraturan akan memastikan tidak berlaku penyelewengan. Negara yang menyumbang serta ummah mesti dimaklumkan dari mana sumber dan bagaimana sumbangan diagih," katanya.

Beliau berkata selain zakat, Islam juga menggalakkan amal menerusi sedekah, dan lebih banyak sedekah daripada golongan kaya bukan saja dapat membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga baik untuk imej Islam.

"Bagi wakaf, amalan ini harus dipromosi dan digalakkan dalam dunia Islam. Sesetengah negara Islam sudah mengamalkannya dengan menyokong pembinaan masjid dan universiti di seluruh dunia. Dengan maklumat yang lebih banyak mengenai keperluan, lebih banyak akan mendapat manfaat daripada wakaf," katanya.

Dr Mahathir berkata masyarakat Islam disatukan menerusi kegiatan kebajikan namun mereka tidak harus membataskannya untuk orang Islam semata-mata.

"Kita juga harus membantu manusia lain jika ada keperluan.

"Jika kita menubuhkan institut untuk mengagihkan wang zakat bagi mengatasi kemiskinan pada kalangan orang Islam dan negara Islam, kita bukan saja mempamerkan cara hidup dalam Islam, tetapi juga membantu mengubah imej Islam yang dipaparkan media Barat. Kita akan berupaya membuktikan Islam dan cara hidup Islam adalah yang terbaik untuk kemanusiaan sejagat," katanya.

Persidangan tiga hari itu dianjurkan bersama Kolej Universiti Insaniah, Bank Pembangunan Islam dan Institut Penyelidikan dan Latihan Islam. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:33 PM

Temui Cincin Pada Lobak Selepas 13 Tahun Hilang

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:00 PM

Jantina Belum Tahu Lagi! - Ezzaty Abdullah

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Kolumnis

iklan

Iklan