Semua Guru Tadika Kemas Miliki Diploma Menjelang 2015

Diterbitkan: Ahad, 30 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Semua guru Tadika Kemas di negara ini dijangka mendapat diploma dan bergred S27 menjelang tahun 2015.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha ke arah itu sedang dilaksanakan termasuk melatih mereka dengan mengikuti kursus dalam cuti di institut perguruan di seluruh negara.

Beliau berkata setakat ini lebih 2,000 orang daripada lebih 9,000 guru tadika Kemas di seluruh negara telah menamatkan pengajian mereka di peringkat diploma.

Katanya bagi Sabah, kumpulan pertama seramai 250 orang daripada 824 orang guru tabika Kemas sudah memperolehi diploma.

"Program ini kita akan teruskan sehingga mereka semua memperolehi diploma seperti yang dirancang selaras dengan wawasan kita untuk memperkasakan lagi pendidikan prasekolah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Anggota Kemas Negeri Sabah di Dewan Saadah Wisma Muis, dekat sini, Sabtu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Shafie mahu semua pihak memainkan peranan untuk memperjelaskan kepada masyarakat tentang pentingnya pendidikan prasekolah, sekaligus memastikan transformasi pendidikan dapat dikecapi segenap rakyat terutama di luar bandar.

Katanya kementeriannya juga amat prihatin akan keperluan prasarana yang lengkap terutama di kawasan pedalaman negeri ini.

Katanya kementerian telah mencatat kejayaan dalam pelaksanaan KPI dan NKRA dengan jumlah pembukaan kelas sebanyak 500 buah pada tahun 2010, menjadikan sebanyak 8,816 tadika dan 313 taska yang beroperasi di seluruh negara yang melibatkan seramai 200,417 kanak-kanak berumur antara dua hingga enam tahun.

"Pada tahun ini pula, sasaran bilangan kelas tabika Kemas sebanyak 9,816 buah telah berjaya dicapai iaitu sehingga Julai 2011 sebanyak 9,816 kelas telah dibuka dengan bilangan kanak-kanak seramai 215,834 orang dan dikendalikan oleh seramai 9,824 guru," katanya.

Sementara itu, Shafie mengingatkan warga Felcra supaya tidak terpengaruh dengan hasutan mana-mana pihak yang cuba memburuk-burukkan kerajaan.

"Cerita ini (hasutan) langsung tidak membantu kita, bukan bagi beli kelapa sawit, bukan bagi beli getah, bukan dia buat rumah untuk kita.

"Kadang-kadang dia cerita tentang kerajaan tidak bantu, dividen tidak cukup tetapi kita sedar dan tahu kerajaan bantu kita sedangkan yang tabur fitnah ini tidak membantu, jadi apa hal kita mahu dengar dia," katanya.

Pada Jumaat, Pengerusi Felcra Datuk Tajuddin Abd Rahman dipetik sebagai berkata bahawa pihaknya mengesan tindakan pihak tertentu yang menjalankan kegiatan menghasut peserta agensi tersebut terutamanya masyarakat Orang Asli supaya membenci kerajaan.

Kegiatan itu dikesan berikutan penemuan risalah memburuk-burukkan kerajaan serta agensi berkenaan di sekitar perkampungan Orang Asli di negeri ini.

Shafie berkata pelbagai bantuan dan program telah dijalankan oleh Felcra secara berterusan bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat dan rakyat seharusnya tahu menilai dan menolak pembohongan yang dibuat pihak-pihak tertentu yang tidak akan memberikan manfaat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan