Program Pendaftaran PATI Di Sarawak Mulai Selasa Ini

Diterbitkan: Ahad, 30 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Jabatan Imigresen akan memulakan Pendaftaran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sarawak selama sebulan mulai 1 Nov hingga 30 Nov depan di pusat-pusat statik dan pasukan bergerak di negeri ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata dengan keadaan bentuk geografi Sarawak yang luas dan berhutan tebal terutama di kawasan sempadan dan pedalaman dianggarkan seramai lebih 100,000 orang PATI berada di negeri ini berdasarkan anggaran daripada pertumbuhan ladang-ladang di Sarawak yang berjumlah 1.2 juta hektar.

"Pendaftaran PATI merangkumi semua warga asing yang menyalahi peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan termasuklah mereka yang telah berada di Sarawak tanpa mempunyai suatu pas yang sah, tinggal lebih masa, bekerja tanpa pas yang sah atau telah melanggar syarat-syarat pas yang telah dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini Ahad.

Warga asing yang telah berada di Sarawak tanpa sebarang dokumen juga tidak dikecualikan, yang mana majoriti mereka ini berada di kawasan pedalaman Sarawak dan terdapat juga mereka ini telah berpindah atau berada di kawasan bandar, katanya.

Beliau berkata pendaftaran PATI akan dilaksanakan serentak dengan pendaftaran pekerja asing sah dan setakat ini dianggarkan seramai 40,000 pekerja asing sah masih belum mendaftar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan