Persaingan Bagi Merebut Jawatan Presiden SUPP Makin Memuncak

Diterbitkan: Ahad, 30 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persaingan bagi merebut jawatan presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) semakin memuncak dengan kedua-dua pesaing, setiausaha penganjur Datuk Peter Chin Fah Kui dan penolong setiausaha agung Datuk Seri Wong Soon Koh, mempersiapkan penyokong mereka bagi pemilihan di peringkat cawangan sebelum pemilihan pusat pada Disember.

SUPP akan mengadakan pemilihan cawangan bulan depan dan kedua-dua pihak, dilaporkan telah memilih calon masing-masing untuk mencabar antara satu sama lain bagi memastikan wakil mereka memperoleh kerusi dalam kepimpinan pusat parti.

Orang dalaman parti berkata Chin mendakwa mendapat majoriti sokongan daripada zon selatan iaitu Kuching, Serian dan Sri Aman, yang mencatatkan jumlah perwakilan lebih tinggi iaitu kira-kira 250.

Jumlah itu merupakan separuh daripada kira-kira 600 perwakilan kesemuanya. Perwakilan lain adalah dari zon utara dan tengah, yang kini mendahului senarai daripada segi persaingan bagi mendapatkan sokongan oleh kedua-dua pihak.

Dr James Chin, penganalisis politik di Sunway Monash University, berkata persaingan pasti sengit dalam pemilihan cawangan, khususnya di Sibu (tempat asal Soon) dan Miri (kubu kuat Peter Chin). "Apa yang mereka lakukan pada asasnya ialah saling cuba mengatasi antara satu sama lain dan cuba sebaik mungkin untuk mengurangkan sokongan terhadap lawan mereka untuk dicalonkan sebagai perwakilan parti dan kemudiannya dipilih ke jawatankuasa pusat.

"Sebilangan besar perwakilan masih daripada cawangan-cawangan di Kuching, di mana majoritinya diketahui adalah menyokong Peter Chin. Hanya undi Bumiputera berpecah kerana mereka masih belum pasti untuk menyokong pihak mana," katanya.

Sistem pemilihan SUPP terbahagi kepada dua peringkat. Peringkat pertama melibatkan undian pemimpin cawangan bagi 131 jawatan dalam jawatankuasa pusat. Jumlah perwakilan dihantar setiap cawangan bergantung kepada saiz keanggotaanya. Bagi setiap 250 anggota, cawangan berhak menghantar maksimum 70 perwakilan.

Dianggarkan kira-kira 600 perwakilan akan mengundi bagi 131 anggota jawatankuasa pusat.

Mesyuarat peringkat kedua pula ialah apabila 131 anggota jawatankuasa yang dipilih bergabung dengan 600 perwakilan untuk memilih anggota bagi jawatankuasa kerja pusat yang berkuasa termasuk presiden.

Malah, bahangnya sudah terasa di Miri di mana Sim Poh Giap bakal mencabar ketuanya, Andy Chia, bagi jawatan tertinggi SUPP Pujut. Chia, penyandang pengerusi bagi SUPP cawangan Pujut, dikatakan menyokong Peter Chin.

Keputusan Sim, bekas pembantu Chia, untuk turut bertanding telah mengejutkan banyak pihak dan ini mungkin petanda kepada lebih banyak kejutan apabila pencalonan dan pengundian bagi pemilihan jawatan cawangan dibuka pada 14 Nov (dari 10 pagi hingga 5 petang), dengan pengundian pada 20 Nov. Malahan di SUPP cawangan Piasau, Hii King Chiong, seorang ahli perniagaan dari Sibu, turut bertanding untuk merebut jawatan pengerusi cawangan Piasau sama ada menentang Chin atau setiausaha politiknya, Datuk Sebastian Ting.

Pengerusi cawangan ketika ini ialah presiden parti Tan Sri Dr George Chan, yang akan meletakkan jawatan pada Disember. Beliau kalah di kerusi Piasau pada pilihan raya negeri 16 April.

Tambahan pula, sokongan kepada Chin juga mungkin dikurangkan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Senadin Datuk Lee Kim Shin, yang juga berasal dari Miri, kerana beliau merupakan gandingan Wong dan turut mensasarkan jawatan setiausaha agung.

Kini terdapat lima cawangan (SUPP) di Miri - Senadin, Pujut, Piasau, Bekenu dan Lambir - yang akan memilih hampir 100 perwakilan ke pemilihan parti pusat pada Disember. Kedua-dua pihak telah turun padang untuk meraih sokongan daripada perwakilan di cawangan berkenaan.

Namun di atas kertas, Chin dilihat mendapat lebih banyak sokongan yang dianggarkan daripada 250 perwakilan dari zon selatan, mengatasi kira-kira 100 penyokong Wong dari zon tengah dan majoriti sokongan dari Miri, di kawasan utara.

Selain daripada itu, Chin mendakwa beliau turut mendapat sokongan 306 pemimpin akar umbi iaitu 33 daripada 43 cawangan di seluruh negeri.

Bagaimanapun, Dr Ahi Sarok, penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), berkata itu belum mencukupi untuk menjamin kemenangan bagi Peter Chin atau Wong kerana sokongan akan banyak bergantung kepada anggota Bumiputera dalam parti yang merupakan hampir 50 peratus daripada jumlah keanggotaan.

"Sebab itu kenapa timbul desas desus bahawa Chin mungkin akan bergandingan dengan (naib presiden Datuk Richard) Riot, yang juga Timbalan Menteri Luar dan anggota Parlimen Serian, walaupun beliau masih belum membuat pendirian".

Bagi pihak Wong pula, sekurang-kurangnya beliau mendapat sokongan tiga daripada empat wakil rakyat yang juga anggota Bumiputera parti," katanya.

Beliau selanjutnya menjelaskan malahan dakwaan Chin kononnya mendapat sokongan 33 daripada 43 cawangan bukan jaminan untuk menang kerana pengisytiharan oleh pemimpin cawangan tidak menjamin sokongan semua perwakilan daripada cawangan berkenaan pada hari pemilihan pada 9 hingga 11 Dis.

Bagaimanapun, seorang anggota akar umbi dari cawangan Bintangor, Felican Teo, menyatakan walaupun ia tidak menjamin sokongan semua anggota, pengisytiharan terbuka seumpama itu akan meningkatkan kedudukan calon dan menyebabkan anggota atas pagar akan menyokong calon yang diandaikan menang.

"Setiap orang sering kali mahu dilihat sebagai penyokong pemenang berikutan wujudnya puak-puak," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan