Masjid Negara Masih Menerima Sumbangan Korban Aidiladha

Diterbitkan: Ahad, 30 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan kepada Masjid Negara bagi melaksanakan ibadah korban sempena Hari raya Aidiladha Ahad ini masih boleh berbuat demikian, kata Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Beliau berkata setakat ini pihak Masjid Negara telah menerima sumbangan kira-kira 44 ekor lembu korban daripada pelbagai pihak dan berharap jumlah itu akan meningkat menjelang sambutan itu nanti.

Katanya tahun lepas Masjid Negara menerima lebih daripada 70 ekor lembu yang dikorbankan di mana daging korban diagihkan kepada masyarakat Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU), sebelum diedarkan kepada masjid dan surau yang telah dikenal pasti.

"Kalau kita nak cari orang ramai untuk menyumbang payah juga, tujuh orang nak cukup satu bahagian... tapi InsyaAllah saya ingat ada lagi pihak swasta serta sektor korporat yang akan menghulurkan sumbangan kepada kita," katanya kepada media selepas menyampaikan sijil tamat pengajian kelas tahfiz kanak-kanak, remaja dan wanita sesi 2009/2010 Masjid Negara di Majlis Ihtifal 2011 di sini, Ahad.

Pada majlis itu seramai 162 pelajar menerima sijil tamat pengajian.

Syaikh Ismail turut mengajak golongan belia supaya beramai-ramai menyertai kelas-kelas agama dan tahfiz di Masjid Negara.

"Kalau kita lihat dalam kalangan pelajar-pelajar kita ini kebanyakannya orang dewasa, jadi kalau boleh kita nak lebih banyak lagi golongan belia yang tiada bekalan ilmu agama datang ke sini... kita bersedia untuk menerima mereka belajar.

Beliau berkata kini seramai 500 orang menyertai kelas di Masjid Negara seperti pengetahuan Islam, bahasa Arab, Feqah, al-Quran dan sebagainya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan