Tun Mahathir Persoal Undang-Undang Hudud PAS - Berita Semasa | mStar

Tun Mahathir Persoal Undang-Undang Hudud PAS

Diterbitkan: Jumaat, 28 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis mempersoal sama ada undang-undang Hudud Pas yang dirancang untuk dilaksanakan parti itu boleh memberi keadilan kepada penduduk berbilang agama di negara ini.

"Mereka (PAS) mempunyai pendirian (mengenai hudud), mereka kata hudud hanya untuk orang Islam sahaja. Jadi jika anda kebetulan pergi mencuri bersama seorang kawan Cina, mereka akan memotong tangan anda tapi rakan anda Cina atau India, mereka akan dipenjara dua bulan.

"Jadi bagi PAS itu adalah keadilan. Sudah tentu, jika anda buat benda lain, mereka akan penggal kepala anda," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis minum petang anjuran Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) di sini, Khamis.

Mengenai cadangan yang dibangkitkan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) bagi mewujudkan jawatan kedua bagi timbalan pengerusi Barisan Nasional yang akan dilantik di kalangan komponen parti di Sabah dan Sarawak, Dr Mahathir berkata apa yang penting ialah untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Tetapi kenapa Sabah dan Sarawak? Apa hal dengan negeri-negeri lain? Kedah juga mahu seorang timbalan perdana menteri.

"Sama ada anda timbalan (perdana menteri) atau tidak, jika anda berkhidmat kepada rakyat, baguslah. Jika tidak, anda akan menerima nasib yang sama seperti Gaddafi (Muammar Gaddafi)," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan