Duta AS Puji Cara Malaysia Tangani Isu Penyeludupan Migran

Diterbitkan: Jumaat, 28 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Langkah yang diambil Malaysia dalam menangani isu pemerdagangan dan penyeludupan migran mendapat pujian Duta Amerika Syarikat ke negara ini, Paul W. Jones.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata Jones juga menyifatkan usaha 3P (pendakwaan, pencegahan dan perlindungan) yang diguna pakai oleh kerajaan Malaysia sangat berkesan dan patut dicontohi oleh negara lain.

Mahmood berkata pujian itu disuarakan oleh Jones ketika hadir dalam Mesyuarat Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) hari ini di Putrajaya yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

"Tujuan kehadiran Jones dan rombongan dalam mesyuarat tersebut adalah bagi memberi pandangan berhubung isu anti pemerdagangan orang dan anti penyeludupan migran di negara ini," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Katanya Jones juga memuji usaha dan kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani masalah dan isu itu dan mencadangkan agar Malaysia mewujudkan pusat perlindungan yang sepenuhnya diuruskan oleh NGO yang kini dilaksanakan dengan jayanya oleh beberapa negara lain.

Katanya dalam mesyuarat itu juga wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa seramai 281 migran telah diseludup sejak 2008 hingga 24 Okt tahun ini yang melibatkan 109 orang perempuan dan 172 orang lelaki.

Daripada jumlah itu seramai 127 orang warga Indonesia, Filipina (61), Myanmar (57), Afghanistan (enam), Pakistan (lapan), Sri Lanka (enam) dan Bangladesh (16).

Mahmood berkata hadir dalam mesyuarat itu ialah anggota MAPO terdiri daripada para pegawai PDRM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen.

Turut hadir ialah pegawai Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, National Council of Women Organisation, Coalition to Abolish Modern-day Slavery in Asia dan Majlis Kebajikan Kanak-Kanak. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan