Perkasa Buka Ruang Survival Politik Zulkifli Noordin

Diterbitkan: Khamis, 27 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MESYUARAT Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang berlangsung pada Rabu sebulat suara melantik ahli politik kontroversi, Datuk Zulkifli Noordin sebagai salah seorang Naib Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.

Sesuai dengan ideologi dan prinsip iaitu untuk memperjuangkan Islam dan mempertahankan hak serta nasib orang Melayu, pemilihan Zulkifli dilihat tepat dengan dasar yang dilaungkan Perkasa.

Berbeza dengan laluan yang digunakan Zulkifli sebelum ini iaitu menerusi pentas politik seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga PAS, Perkasa merupakan platform terbaik untuk beliau bebas mengutarakan pandangan dan pendapat berhubung Islam dan orang Melayu.

Memilih untuk tidak menganggotai mana-mana parti politik walaupun selepas hampir 20 bulan dipecat daripada PKR, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu juga dilihat selesa bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Kedudukan beliau kini memberi ruang kepadanya untuk mengkritik mana-mana pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

Dengan tempoh hayat Parlimen sekarang semakin hampir ke penghujung waktu dan pilihan raya umum akan menyusul tidak lama lagi, amatlah jelas sama sekali kedudukan Zulkifli kini sebagai naib presiden Perkasa sedikit sebanyak menyumbang kepada kelangsungan politik beliau.

Walaupun penubuhan Perkasa bukan sebagai sebuah parti politik, namun rata-rata kebanyakan ahli pertubuhan itu adalah 'orang politik' ataupun penyokong kepada parti politik tertentu dengan Zulfkili sendiri dan juga presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali adalah anggota Dewan Rakyat.

Juga amat jelas sekali, Perkasa adalah satu wadah politik walaupun di atas kertas bukanlah sebuah pertubuhan politik.

Walaupun umum akan tertanya-tanya bagaimanakah nasib politik dua orang kuat Perkasa ini akan berakhir kerana kedua-duanya dahulu bertanding menggunakan platform parti lain tetapi pada masa yang sama, tidak syak lagi mereka sudah semestinya akan menggunakan platform Bebas pada pilihan raya umum yang ke-13 nanti tetapi hakikatnya mewakili Perkasa.

Jadi dari sudut itu, daya tarikan mereka ialah, jika pengundi tidak begitu berselera untuk mengundi parti-parti yang sudah ada, mereka boleh meletakkan calon 'Perkasa' yang bertanding atas tiket Bebas.

Jadi penglibatan Zulkifli dalam Perkasa melalui platform yang dikira 'sah' sedikit sebanyak mampu mengapungkan 'suaranya' buat masa ini sehingga menjelang pilihan raya akan datang walaupun pada satu penghujung yang lain, beliau akan dibenci, dihina dan dipandang dengan penuh menyampah oleh musuh-musuh politiknya.

Bagi Zulkifli sendiri, sudah tentulah beliau telah mengambil segala perkiraan dan perhitungan di dalam menimbang keputusan untuk menyertai Perkasa secara rasmi.

Ini kerana sekiranya beliau ingin terus menawarkan diri bertanding bagi penggal kedua tanpa mewakili mana-mana parti politik, beliau akan memerlukan satu platform atau wadah yang kukuh untuk beliau bergerak.

Bukan hendak mengatakan pergerakan beliau selama ini selaku wakil Bebas tidak berkesan tetapi sudah tentulah akan menjadi lebih berkesan sekiranya atas nama sesebuah pertubuhan atau organisasi.

Apatah lagi pandangannya tentang isu-isu agama dan juga berkaitan orang Melayu kelihatan selari dengan apa yang diperjuangkan oleh Perkasa.

Soal sama ada ia relevan atau tidak dengan iklim politik masa kini itu adalah soal lain.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan