Mahir Bahasa Arab Satu Kelebihan Untuk Jemaah

Diterbitkan: Khamis, 27 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MEKAH: Menguasai bahasa Arab merupakan satu kelebihan bagi mereka yang berkunjung ke Arab Saudi khususnya bagi jemaah haji.

Walaupun Inggeris merupakan bahasa utama dunia, penduduk dan pihak berkuasa Arab Saudi lebih selesa menggunakan bahasa Arab.

Ini boleh dilihat ketika jemaah haji tiba di King Abdulaziz International Airport di Jeddah.

"Lebih mudah bagi kita untuk berkomunikasi dengan mereka jika kita boleh berbahasa Arab berbanding bahasa Inggeris," kata Mohamad Shaifuddin Abdullah, wakil agensi kembara dari Kuala Lumpur.

Mohamad Shaifuddin, 38, yang mempunyai pengalaman tujuh tahun membawa jemaah haji ke Mekah, berkata adalah amat perlu bagi seseorang itu menguasai lebih daripada satu bahasa asing.

"Saya belajar menguasai bahasa Arab ketika belajar di Madinah selama empat tahun, kini Alhamdulillah kemahiran berbahasa Arab banyak membantu memudahkan tugasan saya," katanya kepada Bernama di sini.

Kebanyakan peniaga di Mekah boleh menguasai bahasa Melayu yang memudahkan urusan niaga mereka dengan jemaah haji khususnya dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Pemilik kedai pakaian di sini, Sulaiman Ayoub, 48, berkata menguasai lebih daripada satu bahasa memudahkan beliau untuk menarik pelanggan ke kedainya.

"Apabila saya tahu orang (jemaah haji) yang datang ke kedai saya ini dari Malaysia, saya akan bercakap dengan mereka guna bahasa Melayu," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan