LIFE 3 Mahu Lahirkan Modul Terbaik Sistem Wakaf

Diterbitkan: Khamis, 27 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Persidangan Ekonomi dan Kewangan Islam Antarabangsa Langkawi 2011 (LIFE 3) akan menjadi platform untuk negara Islam memikirkan modul terbaik dalam memajukan ekonomi ummah menerusi sistem wakaf.

LIFE 3 anjuran bersama Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Bank Pembangunan Islam (IDB) dan Institut Latihan dan Penyelidikan Islam (IRTI) berlangsung di Langkawi mulai Sabtu hingga Isnin ini.

Rektor Kuin Prof Datuk Dr Jamil Osman berkata pihaknya berharap untuk melihat modul-modul wakaf terbaik supaya sistem wakaf menjadi sistem ekonomi Islam yang terunggul.

Katanya di Malaysia sendiri, wakaf banyak terhad kepada aspek fizikal seperti tanah yang digunakan untuk membangunkan masjid, surau dan kubur, sedangkan konsep wakaf lebih daripada itu.

"Itulah hasrat kita... wakaf bukan hanya dibincang dalam bentuk akademik. Jika kita lihat sistem wakaf yang dilaksanakan kira-kira 1,500 tahun di Mesir iaitu Universiti Al-Azhar, yang berjaya melahirkan berjuta-juta pelajar.

"Ini berjalan atas dasar wakaf sehinggakan wang wakaf Al-Azhar yang banyak, telah dipinjam oleh kerajaan Mesir. Di Malaysia, Johor Corporation berjaya membangunkan korporat wakaf, namun kita mahukan wakaf yang menyeluruh.

"Malaysia, jika dapat membangunkan sistem wakaf dengan baik, rakyat Malaysia dapat membina kehidupan yang lebih baik dan modul kita dapat diikuti negara Islam yang lain," katanya kepada Bernama di sini.

Persidangan tiga hari itu bertemakan "Perbankan dan Kewangan Islam: Wakaf, Zakat dan Sedekah Bagi Memperkasakan Ummah dan Strategi Untuk Mentransformasi Ummah".

Jamil berkata persidangan itu memberikan penekanan terhadap perbincangan mengenai peranan wakaf, zakat dan sedekah dalam memperkasakan ekonomi ummah.

"Sistem wakaf dan zakat ini boleh dipertingkat dengan kerjasama sistem perbankan dan kewangan Islam. Kita lihat kebanyakan negara Islam masih belum bangunkan sistem wakaf dan zakat ini.

"Di Malaysia, walaupun zakat dikutip sehingga RM1 bilion setahun, zakat dan wakaf tidak dibangunkan secara produktif dan efisyen. Tanah-tanah terbiar masih banyak yang pemiliknya tidak dapat dikesan dan tidak dibangunkan secara komersil untuk meningkatkan ekonomi umat Islam," katanya.

Katanya untuk LIFE 3, penganjur akan membawa tiga kumpulan iaitu kumpulan ulama, cendekiawn kewangan dan perbankan Islam dan profesional bagi sesi perbincangan selari.

"Kumpulan ulama ini mahir tentang syariah, Al-Quran dan hadis, manakala cendekiawan memahami sistem ekonomi barat dan Islam, manakala golongan profesional terdiri daripada pengamal.

"Pada LIFE kedua tahun lepas, kita hanya bawa dua kumpulan iaitu ulama dan pakar kewangan Islam, dan kali ini pandangan orang yang mengamalkannya, turut diambil kira," katanya.

Katanya di Malaysia ketika ini, zakat mempunyai sistem kutipan yang baik namun sistem agihannya belum dapat menjamin masyarakat Islam dapat bergantung sepenuhnya kepada zakat.

"Pembasmian kemiskinan menerusi zakat masih belum terjamin. Kita akan bincang dalam LIFE kerana ia melibatkan institusi perbankan dan kewangan Islam," katanya.

Persidangan itu dijangka disertai kira-kira 300 peserta dari lebih 10 negara. Sehingga kini 70 kertas kerja telah diterima untuk dibentangkan.

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijangka merasmikan persidangan itu. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan