Tun Abdullah Serah Laporan EPG Kepada CHOGM

Diterbitkan: Selasa, 25 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PERTH: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi akan menyerahkan laporan Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) kepada Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM 2011) yang akan dirasmikan Ratu Elizabeth II di sini pada Jumaat.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datuk Salman Ahmad berkata laporan itu akan menjadi sebahagian daripada perbincangan berhubung pembaharuan Komanwel.

Laporan itu akan diserahkan oleh Abdullah sebagai Pengerusi EPG, katanya kepada wartawan Malaysia di sini Selasa.

"Ia satu laporan yang tebal," kata beliau. Salman berkata Abdullah dijadual tiba di sini pada Khamis.

Pesuruhjaya Tinggi itu berkata satu lagi laporan berkaitan Memperkukuhkan Peranan Kumpulan Tindakan Menteri Komanwel (CMAG) akan turut dibincangkan.

EPG dibentuk oleh Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel semasa sidang kemuncak di Trinidad dan Tobago pada November 2009. Matlamat kumpulan itu adalah untuk memberi impak berkesan, memperkukuhkan rangkaian dan meningkatkan profil Komanwel.

CHOGM diadakan pada setiap dua tahun dengan para pemimpin negara-negara Komanwel bertemu dan berbincang bagi mencapai kata sepakat berhubung isu-isu merangkumi politik, krisis kewangan global, pembasmian kemiskinan, perubahan iklim dan pembangunan lestari.

Salman berkata CHOGM kali ini bertemakan "Building National Resilience, Building Global Resilience" (Membangunkan Ketahanan Nasional, Membina Ketahanan Global) akan memberi tumpuan kepada pembangunan politik dan daya tahan ekonomi bagi memperkukuhkan institusi Komanwel.

"CHOGM 2011 akan menjadi landasan bagi menyuarakan pendirian bersama mengenai isu-isu sejagat yang penting bagi negara-negara anggota Komanwel," kata beliau.

Lebih 50 pemimpin dijadual menghadiri CHOGM 2011. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan