Perjanjian Khidmat Udara Pastikan Hubungan Udara Malaysia-Chile Dipendekkan

Diterbitkan: Selasa, 25 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perkhidmatan Udara antara Malaysia dan Chile, yang dijangka dikuatkuasakan menjelang akhir tahun ini, akan memastikan tempoh perjalanan udara antara kedua-dua negara dapat dipendekkan, kata Naib Menteri Hal Ehwal Luar Chile Fernando Schmidt.

"Menerusi perjanjain ini, Malaysia Airline dan LAN boleh terbang ke Santiago dan Kuala Lumpur, sekaligus menjadikan Kuala Lumpur dan Santiago sebagai hab pengangkutan barangan dan penumpang. Kami juga berharap membuat hanya satu transit dan bukan dua atau tiga seperti sekarang," katanya pada temu bual dengan Bernama, Isnin.

Beliau berkata kedua-dua kerajaan sudah merundingkan aspek teknikal perjanjian itu dan kini terpulang kepada syarikat penerbangan terbabit untuk merealisasikan perjanjian khidmat udara itu.

"Saya percaya Malaysia dan Chile boleh dihubungkan dalam beberapa jam, mungkin 22 jam selepas khidmat udara itu dilaksanakan. Ini membuka peluang perdagangan dan menjadikan Malaysia destinasi yang baik untuk pelancong.

"Hari ini, bilangan pelawat Chile yang datang ke Malaysia dan Thailand semakin meningkat. Perjanjian udara itu memenuhi keperluan ini," kata Schmidt yang sedang melakukan lawatan kerja ke Kuala Lumpur.

Schmidt berkata perjanjian khidmat udara dimeterai tahun lepas, dan akan berkuat kuasa serta-merta selepas pengesahan oleh Senat Chile dalam tempoh beberapa minggu.

Beliau juga berkata Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Chile (MCFTA), antara lain akan memberi manfaat kepada syarikat yang mempunyai pensijilan Halal di Chile apabila mereka boleh mengeksport lebih banyak produk pertanian dan lain-lain lagi," katanya.

"Ia (MCFTA) memberi peluang untuk Malaysia sampai ke negara Amerika Latin yang bahari. Malaysia boleh mengeksport ke Chile dan mengsksport semula produk Halal ke negara Amerika Latin yang lain," katanya.

Beliau juga berkata FTA bakal menyaksikan Malaysia dan Chile bekerja bersama-sama untuk mengabungkan dasar.

"Saya mahu meletakkan FTA pada kerangka kerja yang lebih luas, inisiatif 2020 untuk Malaysia dan bersama-sama Chile menjadi negara maju menjelang 2018," katanya.

Schmidt berkata sains dan teknologi merupakan isu yang boleh diteroka selanjutnya oleh kedua-dua negara.

"Kami yakin banyak yang boleh dilakukan terhadap isu Antartik, dalam bidang astronomi. Chile mempunyai keupayaan astronomi di dunia dengan 70 peratus kapasiti pemantauan di dunia terletak di Chile," katanya.

Beliau juga berkata Chile perlu memperbaiki kualiti pendidikan dan menambah peruntukan untuk pendidikan sebanyak US$781 juta kepada US$11.65 bilion tahun depan dalam Belanjawan 2012nya.

"Dalam Belanjawan 2012 kami, pendidikan mendapat bahagian terbesar iaitu 25.7 peratus.

"Kami yakin mengenai pentingnya bertukar-tukar penuntut dengan Malaysia. Pagi ini kami mengumumkan untuk membawa penuntut tinggal dalam akademi diplomatik kami selama 15 hari untuk menjalin hubungan yang baik," katanya.

Beliau berkata Chile juga merancang menganjurkan pameran pendidikan di Malaysia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan