Penggantungan Aziz Bari Ditarik Balik

Diterbitkan: Selasa, 25 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menarik balik penggantungan tugas terhadap pensyarah Fakulti Undang-undangnya, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkuat kuasa serta merta.

Peguam Abdul Aziz, Dr Dzulkarnain Lokman berkata, penarikan balik tugas pakar perlembagaan dimaklumkan dalam sepucuk surat daripada pihak universiti yang memaklumkan pensyarah undang-undang itu dikehendaki melaporkan diri di fakulti berkenaan pada Selasa.

“Abdul Aziz dikehendaki melaporkan diri kepada dekan Fakulti Undang-Undang hari ini (Selasa). Beliau juga telah menjawab surat tunjuk sebab yang dikemukakan pada pukul 2.30 petang semalam (Isnin).

“Kira-kira empat jam selepas kita jawab surat tunjuk sebab itu, kita terima faks yang memaklumkan penarikan balik penggantungan tugas Abdul Aziz berkuat kuasa serta merta,” kata peguam berkenaan kepada mStar Online pada Selasa.

Minggu lalu, UIAM telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Abdul Aziz atas kesalahan memberi kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti.

Difahamkan surat tunjuk sebab itu telah dikeluarkan oleh unit undang-undang universiti berkenaan ekoran kenyataan Abdul Aziz yang didakwa mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Aziz menyifatkan tindakan Sultan Selangor campur tangan dalam isu pemeriksaan gereja itu bukan sesuatu tindakan yang biasa terjadi.

Beliau dipetik sebagai berkata, sebagai ketua agama Islam di negeri itu, baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Ekoran tindakannya itu, beberapa laporan polis telah dibuat terhadapnya dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Senator Ezam Mohd Nor turut menggesa supaya Abdul Aziz disiasat di bawah Akta Hasutan.

Pensyarah kanan UIAM itu juga telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 minggu lalu.

Dalam pada itu, Dzulkarnain turut memaklumkan bahawa anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah pergi ke pejabat Abdul Aziz pada Isnin dan mengambil komputer milik pensyarah berkenaan untuk siasatan lanjut berhubung laporan yang dibuat terhadapnya minggu lalu.

"Semua ini dilakukan untuk polis melengkapkan siasatan dan menghantar semula kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya Selangor," katanya.

Bukan itu sahaja, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah pergi ke pejabat Abdul Aziz Isnin lalu untuk merekodkan kenyataan berhubung isu yang sama.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan