Pemilih Baru dan Tukar Alamat Penting Semak Rang Daftar Pemilih Tambahan:SPR

Diterbitkan: Selasa, 25 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Semua pemilih baru yang sudah berdaftar atau bertukar alamat pusat mengundi, diingatkan supaya menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) suku tahun ketiga 2011, yang akan dipamerkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mulai Khamis ini hingga 2 Nov depan.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata adalah penting mereka menyemak Rang DPT itu bagi memastikan nama mereka sudah didaftarkan dengan maklumat betul dan tepat.

"Masalahnya ramai suka ambil mudah dan beranggapan sebaik sudah mengisi borang pendaftaran (Borang A) secara automatik mereka layak mengundi dan yang bertukar tempat mengundi juga boleh terus mengundi di tempat baru.

"Sedangkan mungkin semasa mengisi borang berlaku kesilapan atau pun selepas permohonan diproses terdapat maklumat meragukan, menyebabkan permohonan individu itu tidak dapat didaftarkan sebagai pemilih," katanya dalam satu temubual di sini Selasa.

Pameran Rang DPT akan dibuat di 987 lokasi di seluruh negara antaranya di pejabat pilihan raya negeri, pejabat pos, pejabat kerajaan, pejabat daerah, pejabat tanah, majlis daerah, dewan serbaguna, balai raya, dan ia juga boleh disemak di laman web SPR www.spr.gov.my.

Sejumlah 264,404 pemilih baru dan 52,215 pemilih yang memohon pertukaran alamat pusat mengundi, yang diterima dan diproses oleh SPR mulai 1 Julai hingga 30 September tahun ini akan dipamerkan sepanjang tempoh itu.

Abdul Aziz berkata, dengan menyemak Rang DPT itu, jika didapati nama tiada dalam senarai, pemohon boleh mengemukakan tuntutan dengan mengisi Borang B dan dihantar kepada Pendaftar bagi kawasan pendaftaran berkenaan beserta salinan Borang A.

Selain itu, pameran juga untuk memberikan ruang kepada mana-mana pihak untuk membantah kemasukan namanya atau nama orang lain ke dalam sesuatu kawasan pendaftaran.

"Tetapi pembantah mestilah bertanggungjawab dengan bantahan yang dibuat kerana implikasinya amat besar, jika terdapat satu bantahan bagi satu bahagian pilihanraya, ia akan menyebabkan pengesahan keseluruhan pendaftaran bagi bahagian pilihan raya Parlimen berkenaan ditangguhkan sehingga kes bantahan itu diselesaikan, katanya.

Abdul Aziz berkata sekiranya bantahan ditolak, rayuan boleh dibuat kepada pegawai pengadil dan jika pegawai pengadil mendapati bantahan yang dibuat tidak berasas, pembantah perlu membayar pampasan tidak melebihi RM200.

Beliau berkata bantahan tidak berasas menyebabkan mereka yang benar-benar layak mengundi di sesuatu kawasan pilihan raya itu mungkin tidak dapat menunaikan tanggungjawab.

"Sekiranya dalam waktu terdekat berlaku pilihan raya maka pemohon baru tidak dapat mengundi dan pemohon tukar tempat mengundi terpaksa mengundi di bahagian Parlimen yang lama," katanya.

Sepanjang tempoh pameran, sejumlah 42,051 rekod pemilih meragukan turut dipamerkan, tetapi bukan untuk tujuan tuntutan atau bantahan, sebalikya untuk tujuan pengesahan daripada pemilih berkenaan atau waris kepada nama-nama dipamerkan. - BERNAMA

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan