Kerajaan Belanja RM747 Juta Selenggara Jalan Persekutuan

Diterbitkan: Selasa, 25 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEMENYIH: Sebanyak RM747 juta telah dibelanjakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh negara pada tahun ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata peruntukan itu termasuk sebanyak RM377 juta yang dibelanjakan oleh Kementerian Kerja Raya manakala bakinya menerusi peruntukan yang disalurkan kerajaan kepada syarikat-syarikat konsesi.

"Ini menunjukkan kementerian tidak putus-putus (mengeluarkan perbelanjaan) bagi meningkatkan kualiti jalan raya bagi memudahkan pengguna.

"Perbelanjaan ini termasuk kerja-kerja menaik taraf di kawasan-kawasan yang cenderung berlakunya kemalangan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di persimpangan jalan Taman Pelangi, Semenyih menghala ke persimpangan jalan Broga pada Selasa.

Shaziman berkata perbelanjaan penyelenggaraan itu termasuk di Sabah dan Sarawak, adalah bagi kerja-kerja pelebaran, menaik taraf jalan dan sebagainya.

"Walaupun, secara lazimnya (kerja-kerja penyelenggaraan) diuruskan oleh syarikat-syarikat konsesi, namun kementerian masih berbelanja," katanya.

Mengenai lawatannya hari ini, Shaziman berkata beliau sudah pun mengarahkan Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri untuk membuat kajian bagi menyelesaikan kesesakan lalu lintas yang berlaku di kawasan berkenaan.

Ini kerana, beliau berkata daripada aduan yang diterimanya daripada pengguna jalan raya di kawasan tersebut, mereka tersangkut antara satu dan dua jam setiap hari, sekiranya melalui jalan itu sejauh antara lima dan enam kilometer.

Beliau berkata daripada maklumat yang diperoleh, kira-kira 32,000 kenderaan menggunakan laluan tersebut setiap hari.

"Apabila kajian menyeluruh ini dapat diselesaikan...dalam masa dua bulan, saya akan kemukakan kepada Perdana Menteri supaya sesuatu boleh dilakukan bagi meringankan masalah pengguna jalan raya di kawasan ini," katanya.

Buat sementara waktu, Shaziman berkata pihaknya akan menyalurkan peruntukan awal sebanyak RM1.2 juta bagi melebarkan jalan terutama di kawasan-kawasan persimpangan, bagi melancarkan lalu lintas di jalan berkenaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan