Keputusan Tsu Koon Terus Jadi Teka-Teki

Diterbitkan: Selasa, 25 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bahawa beliau sanggup "berkorban" untuk parti disambut dengan pelbagaitafsiran oleh pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan anggota parti itu sendiri.

Walaupun ramai yang menyambut baik janji beliau itu, tetapi tidak kurang juga yang berpendapat bahawa kata-kata Koh bahawa beliau sedia berkorban selepas menimbang semua pilihan yang ada, masih diselubungi teka-teki dan belum dapat dilihat buktinya.

Ada yang berpendapat bahawa perkataan "berkorban" itu membawa maksud Koh tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang, manakala ada pula yang membuat tafsiran bahawa beliau akan bertanding, tetapi di kerusi yang paling mencabar.

Sekiranya bekas Ketua Menteri Pulau Pinang ini mengambil keputusan untuk tidak bertanding, adakah ini bermakna beliau mengaku bertanggungjawab bagi prestasi buruk Gerakan pada Pilihan Raya Umum 2008 dan menerima hakikat bahawa beliaulah yang menjadi puncanya kerana dilihat sebagai pemimpin yang lemah?

Ramai berpendapat bahawa kekalahannya di tangan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P. Ramasamy bagi kerusi Parlimen Batu Kawan dan pencapaian buruk Gerakan pada pilihan raya umum lepas patut menimbulkan kesedaran di hati Koh untuk tidak lagi bertanding sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

Tetapi, adakah Koh, yang kelihatan tidak kisah dengan semua itu, sanggup berundur daripada gelanggang politik sebagai seorang yang lari daripada medan perjuangan, sedangkan beliau telah berkhidmat dengan cemerlang sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selama 18 tahun dan sebagai anggota Kabinet selama tiga tahun?

Penganalisis politik dan anggota Gerakan berkata sekiranya beliau benar-benar tidak gentar untuk berkorban, Koh patut bertanding di kerusi paling mencabar dengan menentang gergasi Pembangkang yang mengikut perkiraan biasa, tidak mungkin boleh dimenangi calon Barisan Nasional (BN).

Kata mereka, sekiranya beliau bertanding dan kalah, ia adalah perkara biasa kerana kerusi berkenaan sudah dikira menjadi milik Pembangkang, tetapi sekiranya beliau menang, ia akan menjadi peniup semangat yang begitu penting untuk anggota Gerakan dan BN.

Kebanyakan anggota parti itu berharap Dr Koh tidak gentar untuk bertadning menentang Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di kerusi parlimen Bagan pada pilihan raya umum akan datang.

"Biar Guan Eng tidak senang duduk di Pulau Pinang apabila Koh bertanding menentangnya. Berikutan sokongan yang semakin meningkat terhadap BN di Pulau Pinang sekarang, Koh mampu memberi tentangan hebat. Sama ada beliau menang atau kalah, bukan perkara utama," kata seorang anggota Gerakan.

Tetapi, adakah Koh benar-benar menjiwai erti sebenar "pengorbanan" sekiranya sebagai presiden parti, beliau dengan mudah boleh memperuntukkan kepadanya kerusi yang selamat di luar Pulau Pinang?

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Dr Sivamurugan Pandian berkata terdapat banyak contoh pengorbanan yang dilakukan pemimpin politik, seperti pengorbanan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dalam Projek Tanjong 1 dan Tanjong 2 hingga beliau akhirnya berjaya mengalahkan Lim Chong Eu pada Pilihan Raya Umum 1990.

"Percaturan serupa turut dilakukan anaknya Guan Eng pada Pilihan Raya Umum 2008, yang membawa kepada penguasaan Pembangkang di Pulau Pinang.

"Koh juga boleh mencontohi bekas presiden MCA Tan Sri Lee San Choon, yang menyahut cabaran Lim Kit Siang pada 1980 untuk bertanding di kerusi Parlimen Seremban," katanya.

Pada pilihan raya umum 1982, Lee menyahut cabaran Kit Siang supaya menentangnya di kawasan majoriti Cina dengan memilih Seremban, yang merupakan kubu kuat DAP di bawah pimpinan Dr Chen Man Hin.

Bagaimanapun, Kit Siang pula melepaskan cabarannya dan meminta Dr Chen mempertahankan kawasan itu, yang akhirnya dimenangi Lee dengan majoriti 845 undi.

Penganalisis politik Datuk Cheah See Kian pula berkata beliau yakin Koh akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang kerana ia merupakan langkah paling logik baginya sebagai presiden parti.

"Jika dilihat pada Pilihan Raya Umum 2008, Guan Eng tidak berani berdepan dengan Gerakan kerana mereka tahu parti itu lebih kuat daripada MCA. Beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Air Putih dan kerusi Parlimen Bagan.

"Kedua-dua kerusi itu ditandingi oleh MCA. Oleh itu, saya percaya Koh akhirnya akan memilih Tanjong, kerusi yang beliau menangi pada Pilihan Raya Umum 1982," kata Cheah.

Bagaimanapun, ada juga pihak yang berpendapat Koh kini tidak lagi memiliki "faktor "wow" dan sebarang kelebihan sekiranya beliau mengambil keputusan untuk menentang Guan Eng.

Mereka berkata sekiranya Koh ingin bertanding lagi, beliau perlu menilai dirinya sama ada termasuk dalam kelompok calon yang boleh menang seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pilihan raya umum akan datang amat penting dan setiap kerusi begitu berharga sekali.

Bagaimanapun, banyak pihak masih ragu-ragu Koh akan membuat pengorbanan seperti yang fahami kebanyakan orang kerana ia merupakan keputusan yang paling sukar untuk beliau ambil dalam kerjaya politiknya memandangkan penggal pertama pelantikan beliau sebagai senator akan berakhir pada 9 April 2012.

Ada pihak bertanya sanggupkah beliau melepaskan segala-galanya apabila mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang?

Timbalan presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn berkata setakat ini pilihan yang ada dalam rangka pengorbanan yang boleh dilakukan oleh Koh belum muktamad dan ia akan terserlah dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Persoalan yang timbul ialah adakah mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan (CC) pada pertengahan bulan depan akan menentukan langkah seterusnya yang patut diambil oleh Koh untuk meringankan beban beliau dalam membuat pilihan?

Atau adakah Koh akan mencari sendiri laluan yang perlu beliau tempuhi? - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan