Hari Memperingati Pertempuran Pulau Pinang Pada Jumaat

Diterbitkan: Selasa, 25 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kedutaan Rusia akan menganjurkan hari memperingati Pertempuran Pulau Pinang pada Jumaat ini, untuk mengenang kembali peristiwa kapal perang Rusia 'Zhemchug' tenggelam selepas diserang kapal perang Jerman pada permulaan Perang Dunia I.

Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia Lyudmila Vorobyeva berkata sekumpulan besar kakitangan kedutaan dan rakyat Rusia yang tinggal di Kuala Lumpur akan pergi ke Pulau Pinang untuk menghadiri majlis itu.

"Ia telah menjadi satu tradisi bagi kedutaan kami dan Pejabat Atase Tentera Udara dan Laut untuk menziarah pusara kelasi kami dua kali setahun dan untuk memperingati semua tentera yang terkorban dalam Perang Dunia II di seluruh dunia," katanya pada sidang media di sini Selasa.

Kumpulan itu juga akan melawat pusara pada 9 Mei setiap tahun sempena Hari Kemenangan Perang Dunia II.

Pertempuran Pulau Pinang berlaku pada lewat malam, 27 Okt 1914 di Selat Melaka apabila kapal perang Jerman 'Emden' mendapati ia berada dalam kedudukan yang hampir dengan 'Zhemchug' dan telah melancarkan torpedo yang mengenai sasaran.

Dalam beberapa minit 'Zhemchug' tenggelam di mana 89 pegawai dan anggota hilang dan 112 kelasi tercedera.

Serangan itu berlaku terlalu pantas dan berkesan di mana Emden telah meninggalkan pelabuhan Pulau Pinang dengan kejayaan cemerlang.

"Semua pelaut Rusia yang tercedera telah dirawat di rumah penduduk tempatan di mana mereka telah diberi bantuan dan sokongan," kata Vorobyeva.

Mereka yang terkorban telah dikebumikan di dalam dua kubur, iaitu di George Town dan Pulau Jerejak.

Vorobyeva berkata peristiwa itu sangat penting untuk dikongsi oleh rakyat Malaysia dan Rusia kerana ia jelas membuktikan hubungan sesama manusia boleh wujud melampaui hubungan rasmi atau kerjasama.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Rusia, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada rakyat Malaysia kerana telah menyelamatkan banyak nyawa rakan senegara saya yang terbukti menjadi hakikat kemanusiaan yang sangat penting.

"Episod ini harus diketahui oleh rakyat kedua-dua negara kerana ia menunjukkan aspek kemanusiaan, kebaikan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia terhadap warga Rusia.

"Sudah pasti ketika itu bukan Persekutuan Rusia, tetapi ia adalah Empayar Rusia. Mereka adalah kelasi bukan sahaja etnik Rusia tetapi terdapat juga bangsa-bangsa lain," katanya.

Katanya majlis itu akan diadakan di Western Road Cemetery di Pulau Pinang di mana mereka akan mengalungkan bunga di batu nisan kelasi Rusia yang terkorban dalam pertempuran 97 tahun yang lalu. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan