Aturcara Padat Untuk Perdana Menteri Semasa CHOGM Di Perth

Diterbitkan: Selasa, 25 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PERTH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di sini dari 27 hingga 30 Okt akan mempunyai aturcara padat merangkumi mesyuarat dua hala hinggalah kepada forum perniagaan dan pertemuan santai.

Perdana Menteri, yang dijangka tiba di sini Rabu malam, mempunyai lima mesyuarat dua hala selain menghadiri Forum Perniagaan Komanwel (CBF) pada Khamis dan tiga sesi pertemuan santai pada Sabtu serta Ahad.

"Perdana Menteri, yang akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mempunya aturcara yang padat," kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datuk Salman Ahmad kepada wartawan Malaysia di sini pada Selasa.

Beliau berkata Najib diundang oleh Majlis Perniagaan Komanwel (CBC) untuk menyampaikan ucaptama bertajuk 'Membina Infrastruktur bagi Abad ke-21' pada Khamis.

Perdana Menteri dijadual mempengerusikan mesyuarat meja bulat yang akan disertai pemimpin perniagaan terpilih untuk membincangkan peluang serta prospek perdagangan serta pelaburan di Malaysia, juga pada Khamis, katanya.

"Tahun ini kami memberi banyak tumpuan kepada mesyuarat bersama pemimpin perniagaan dan semestinyalah pembangunan serta program dalam sektor ekonomi dan perdagangan serta perkara lain yang dekat di hati kita," kata Salman.

Mengenai mesyuarat dua hala, Salman berkata Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Australia Julia Gillard, Perdana Menteri Pakistan Syed Yousaf Raza Gillani, Presiden Nigeria Goodluck Ebele Jonathan, Presiden Sri Lanka Mahinda Rajapaksa dan Perdana Menteri Britain David Cameron.

Mengenai pertemuan dua hala dengan Gillard, Salman berkata isu yang akan dibincangkan tertumpu kepada CHOGM.

"Terdapat banyak isu semasa dua hala, tetapi ini adalah CHOGM dan sudah tentulah isu yang berhubung kait dengan CHOGM akan diberi tumpuan dalam pertemuan kedua-dua Perdana Menteri itu," katanya.

Sementara itu, pada sesi pertemuan santai, Malaysia akan membawa agenda 'Pergerakan Global Kumpulan Sederhana' yang mempunyai kaitan dengan Islamofobia yang semakin berkembang.

"Perdana Menteri dijangka mempromosikan agenda ini kepada Komanwel," kata Salman. Pada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu tahun lepas, Perdana Menteri menghuraikan isu berkenaan, antara lain dengan menyatakan bahawa isu sebenar bukanlah antara Muslim dan bukan Muslim, sebaliknya antara kumpulan sederhana dan ekstremis dalam semua agama, sama ada Islam, Kristian atau Judaisme.

Salman berkata Najib akan menganjurkan majlis berbeku 'ala Australia' bagi rakyat Malaysia di sini pada 30 Okt sebelum berlepas pulang ke tanah air.

"Ini akan menjadi peluang yang baik bagi rakyat Malaysia di sini untuk bertemu Perdana Menteri. Kami menjangkakan kira-kira 300 rakyat Malaysia termasuk pelajar akan menghadiri majlis barbeku itu," katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, yang turut menyertai delegasi Malaysia, akan menghadiri mesyuarat serupa yang berhubung kait dengan CHOGM bersama Menteri-Menteri Luar selain mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Cyprus, Namibia dan New Zealand.

Seorang lagi anggota delegasi ke CHOGM, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, akan terlibat dalam forum perniagaan, kata Salman.

Tema CHOGM tahun ini, yang diadakan dua tahun sekali, ialah 'Membina Ketahanan Nasional, Membangunkan Ketahanan Global.' - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan