Tubuh Suruhanjaya Diraja Siasat Penyelewangan Kad Pengenalan: Nasrudin

Diterbitkan: Isnin, 24 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat pada Isnin mendesak kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat penyelewengan pengeluaran kad pengenalan di negara ini.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, desakan itu dibuat kerana mereka mempunyai bukti jelas mengenai 240 orang warga asing yang dirancang oleh pihak tertentu untuk diberikan kad pengenalan di Istana Dugang Country Resort di Kajang, Selangor pada 12 Oktober lalu.

"Kami juga mempunyai bukti iaitu terdapat 170,818 warga asing dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) suku kedua 2011 yang mempunyai kod negara "71"," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, Isnin.

Menurut Nasrudin, berdasarkan semakan yang dibuat oleh pihaknya terhadap laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tiada kod "71" disenaraikan sebagai kod rasminya.

"Maka kami menganggap bahawa kod "71" adalah suatu kod warganegara yang tidak diketahui negara asal kelahirannya," katanya.

Beliau berkata, kira-kira 42.23 peratus atau 72,742 pengundi yang tidak diketahui negara asal adalah dari rumpun bangsa Cina iaitu Cina (71,252), Hokkien (521), Teochew (375), Cantonese (292), Foochow (135), Hainanese (119), Henghua (25) dan Hokchiu (23).

Tambahnya, sebanyak 17.33 peratus atau 29,605 pengundi lagi adalah dari rumpun bangsa India iaitu India (24,663), India Muslim (2,399), Punjabi (796), Sikh (639), Sri Lanka (346), Pakistan (328), Tamil (324), Tamil Sri Lanka (67), Telegu (21), Malabari (12) dan Bangladesh (10).

"Sementara itu, pengundi daripada bangsa Indonesia pula dipecahkan kepada bangsa Indonesia (4,942), Bugis (1,356), Jawa (872), Banjar (240) dan Boyan (58)," katanya.

Jelas beliau, bagi pecahan mengikut negeri tempat mengundi, Selangor merekodkan seramai 29,758 pengundi, Johor (28,164), Wilayah Persekutuan (17,548), Perak (16,680), Kelantan (15,345), Pulau Pinang (12,799), Sarawak (9,324), Sabah (8,590), Melaka (8,069), Negeri Sembilan (7,516), Pahang (6,495), Kedah (5,793), Terengganu (3,313) dan Perlis (941).

"Ini bermakna negeri Pakatan Rakyat termasuk Perak dan Wilayah Persekutuan mempunyai pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran seramai 57.32 peratus atau 97,923 orang, iaitu satu jumlah yang cukup besar yang mungkin boleh menumbangkan kerajaan yang memerintah," katanya.

Nasrudin berkata, Dewan Pemuda PAS Pusat telah membuat beberapa siri pendedahan manipulasi pilihan raya selama dua bulan kepada pihak media dan hasilnya mendapati wujud ribuan kes kad pengenalan berkembar.

Terdahulu, Nasrudin yang ditemani beberapa ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat menyerahkan memorandum bagi menubuhkan suruhanjaya itu kepada Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub untuk disampaikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan