Kejatuhan Kerajaan Asia Barat Beri Kesan Besar Kepada Negara Islam Lain

Diterbitkan: Isnin, 24 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JITRA: Perubahan akibat kejatuhan kerajaan kuasa-kuasa besar di Asia Barat, yang memberi kesan besar terhadap ekonomi negara-negara Islam lain di dunia, perlu ditangani dengan baik.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata berdasarkan kedudukan itu, pengeksport yang berdagang di Asia Barat perlu mencari jalan untuk mengubah destinasi dagangan masing-masing sementara menunggu pemulihan di kawasan berkenaan.

Malaysia telah mengambil beberapa langkah, selain memantau kedudukan negara dagangan, bagi menangani keadaan ekonomi dunia yang semakin tidak menentu, katanya.

"Malaysia masih merupakan destinasi pelaburan yang baik walaupun perkembangan ekonomi dunia agak perlahan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang 2011 di sini.

Majlis bertemakan Guru Cemerlang Pemacu Transformasi Pendidikan itu dihadiri 300 guru cemerlang dari seluruh negara.

Mukhriz berkata pelaburan langsung asing (FDI) diyakini terus memasuki ke negara ini disebabkan mereka melihat Malaysia berupaya menghadapi tekanan melalui perancangan ekonomi yang mapan.

Beliau berkata selain FDI yang menggerakkan aktiviti ekonomi negara, pelbagai inisiatif juga berjaya menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan terlibat dalam proses pembangunan ekonomi negara.

"Kerajaan mengharapkan program transformasi ekonomi yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat menarik minat syarikat tempatan supaya terlibat dalam aktiviti pelaburan negara bagi mengimbangi kadar FDI dan DDI (pelaburan langsung tempatan) pada nisbah 50:50," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan